Anda di sini

PPM gagalkan penyeludupan minyak diesel

Advertisement
HOS digunakan untuk memindahkan minyak ke kapal Success 33.
PEMINDAHAN: Hos digunakan untuk memindahkan minyak ke kapal Success 33.

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menggagalkan penyeludupan 38,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM134,000 di perairan Pulau Papan di sini, malam Isnin.

Komander PPM Wilayah 4 Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata kejadian jam 9.50 malam itu dikesan semasa anggota PPM menaiki botronda PSC1 menjalankan rondaan Ops Gelora.

"Anggota mengesan serta memeriksa dua kapal masing-masing Success 33 dengan nombor pendaftaran WLN00239K dan kapal Gemia yang dikendalikan juragan kapal warga tempatan berumur 36 dan 47 tahun.

"Hasil pemeriksaan mendapati aktiviti pemindahan minyak diesel sebanyak 38,000 liter sedang dijalankan di bahagian kargo kapal tanpa sebarang permit dan kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya.

Menurutnya kedua-dua kapal dan minyak diesel dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM15,254,900 serta juragan ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan.

"Pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 22(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjaran sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Rondaan serta operasi di perairan akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti menyalahi undang-undang dapat dibanteras dan keselamatan perairan negara terjamin," katanya.

  • oleh
  • Advertisement