Anda di sini

Pantai Pasir Pimping bakal jadi destinasi pelancongan

Advertisement
 Jaujan (kiri) berbincang sesuatu dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di persidangan DUN Sabah pada Selasa.
BINCANG: Jaujan (kiri) berbincang sesuatu dengan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di persidangan DUN Sabah pada Selasa.

KOTA KINABALU: Pantai Pasir Pimping dijangka menjadi salah satu destinasi pelancongan bagi daerah Membakut apabila kerja menaik taraf kawasan berkenaan yang akan dimulakan pada tahun hadapan siap sepenuhnya nanti.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong berkata, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) melalui Majlis Daerah Beaufort sudah merancang usaha menaik taraf gerai-gerai di Pantai Pasir Pimping agar lebih tersusun serta teratur.

"Reka bentuk bagi kerja menaik taraf gerai sudah disiapkan oleh pihak majlis dan cadangan peruntukan tambahan akan dipohon di bawah peruntukan khas KKTP pada 2020.

"Ini secara langsung akan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat khususnya para pengusaha dan peniaga kecil di kawasan berkenaan," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut-Bersatu).

Beliau berkata, KKTP juga akan membina lebih banyak kemudahan seperti pasar awam dan gerai di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah.

Katanya, kementerian sedar bahawa pasar awam dan gerai memainkan peranan penting untuk merancakkan kegiatan ekonomi kawasan terbabit.

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), KKTP akan mengemukakan cadangan pembinaan pasar-pasar baharu antaranya Pasar Awam Pekan Sipitang, Pasar Awam Baru Pekan Kota Kinabatangan dan Pasar Kain Bertingkat Kudat.

"Selain itu, cadangan menaik taraf pasar awam sedia ada juga akan disenaraikan. Antaranya Pasar Awam Pekan Beaufort dan Weston, Tamu Minggu Melalap serta Tapak dan Gerai Pekan Apin-Apin.

"KKTP juga sangat mengalu-alukan cadangan pembinaan atau naik taraf pasar awam dan gerai daripada wakil-wakil rakyat di Sabah," katanya.

Ketika sidang media, Jaujan yang juga Menteri KKTP berkata, beliau akan mengambil berat mengenai kewujudan pasar awam atau gerai di setiap daerah di negeri ini.

Katanya, pasar awam menjadi keperluan kepada semua masyarakat dalam negeri ini untuk memenuhi kehidupan rutin  harian.

"Pelbagai hasil pertanian dan nelayan dijual di pasar awam, kini saya melihat pasar awam berada dalam keadaan 'lesu' sehingga wujudnya keadaan monopoli oleh syarikat-syarikat pasaraya besar, bukan sahaja menjual kain tetapi juga sayur-sayuran dan hasil laut.

"Matlamatnya adalah kita mahu membantu peniaga kecil di pasar, oleh itu saya mahu PBT mengambil langkah terbaik untuk bangunkan, ceriakan dan bersihkan pasar awam agar berada dalam suasana yang kondusif," katanya.

  • oleh
  • Advertisement