Anda di sini

Lima nelayan didenda RM530,000, tangkap ikan tanpa permit

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang tekong dan empat kru nelayan warga asing dikenakan denda sebanyak RM530,000, atas kesalahan menangkap ikan di perairan negara ini tanpa permit yang sah.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap Truong Thanh Truong, 39, Phi Van Tan, 37, Nguyen Van My, 29, Nguen Tan Dat, 30, dan Nguyen Vam Vinh, 30, selepas mereka mengaku salah.

Truong sebagai tekong dikenakan denda sebanyak 250,000 atau penjara tiga bulan, manakala tiga kru yang lain masing-masing didenda RM70,000 atau penjara dua bulan.

Jika mereka gagal membayar denda terbabit, mahkamah memerintahkan tempoh penjara dikira dari tarikh sabitan dan selepas itu dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Mereka didapati menangkap ikan di perairan perikanan negara ini tanpa permit sah, pada 30 Jun jam 10 pagi di atas bot nelayan asing di perairan pulau Sibongor Laut Banggi, daerah Kudat.

Untuk itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dihukum mengikut Seksyen 25 (a) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika individu rakyat negara asing hendaklah didenda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang dalam hal empunya atau nakhoda dan tidak melebihi RM100,000 setiap kru.

Berdasarkan fakta kes, penguatkuasaan Maritim menahan sebuah vesel nelayan asing (Vietnam) pada hari sama di perairan Kudat.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan, terdapat lima lelaki antaranya seorang tekong yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah, turut ditemukan peralatan menangkap ikan.

Mereka kemudiannya ditahan kerana disyaki menangkap ikan di perairan perikanan negara ini tanpa permit atau kebenaran yang dikeluarkan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Semasa rayuan, semua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman mereka diringankan dan menyatakan mempunyai keluarga untuk ditanggung.

Mahkamah juga mendengar bahawa semua tertuduh tidak menyedari bahawa memasuki perairan negara ini untuk menangkap ikan menjadi satu kesalahan.

Pegawai Pendakwa Leftenan Muda Aimi Najiha Abdullah dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap semua tertuduh.

Menurutnya tindakan semua tertuduh iaitu menceroboh perairan negara adalah kesalahan yang serius kerana memberikan kesan buruk kepada sektor perikanan Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement