Anda di sini

Lepasan SPM dijemput sertai Program Peduli Anak Sabah 

Advertisement
MA’MUN menerima profil program Peduli Anak Sabah daripada Azizul.
MA’MUN menerima profil program Peduli Anak Sabah daripada Azizul.

TAWAU: Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya yang berminat menceburi bidang perhotelan dijemput menghadiri Program Pengajian Latihan Peduli Anak Sabah pada 21 September di Kompleks Sukan Tawau.

Penasihat Pendidikan YEG Academy (M) Sdn Bhd merangkap Ketua Pengambilan Pelajar Azizul Hakim Suhaimi berkata program itu pertama kali diadakan di negara ini.

“Kita menawarkan Diploma Pengurusan Hotel Kolej Antarabangsa Inovatif yang dipengerusikan bekas Naib Canselor Universiti Malaya Datuk Prof Emeritus Dr Hashim Yaacob,” katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata pihaknya dalam usaha mencari pelajar dari Sabah untuk mengikuti diploma dalam perhotelan sempena pembukaan pengambilan sesi baharu Oktober 2019.

Menurutnya, mereka yang terpilih berpeluang melanjutkan pengajian selama tujuh semestar serta turut menerima pelbagai insentif lain khusus untuk pelajar Sabah.

“Kita menggunakan konsep 70 (praktikal): 30 (teori) dan uniknya mereka akan belajar sambil berpeluang menerima gaji setiap bulan kerana mengikuti latihan dalam industri.

“Program ini diwujudkan sebab kita melihat situasi semasa apabila ramai graduan yang baharu menamatkan pengajian masih tidak mempunyai pekerjaan,” katanya.

Pihaknya juga akan membawa kaunselor-kaunselor akademik serta akan turut mengadakan sesi khas bersama Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman.

Azizul optimis peluang pekerjaan dalam sektor perhotelan amat besar berikutan perkembangan yang menunjukkan peningkatan kehadiran pelancong dari luar negara.

“Kita mengadakan memorandum persefahaman dengan 21 pemain industri (perhotelan) yang membuka peluang kepada pelajar bekerja dengan pihak terlibat,” katanya.

Menyentuh sokongan wakil rakyat tempatan pula, beliau berterima kasih dengan Ma’mun kerana terbuka memberikan peluang untuk pihak mereka mencari pelajar di daerah ini.

Ma’mun semasa ditemui menyifatkan penawaran lanjutan pendidikan berorientasikan praktikal terbabit, berupaya memberikan pendedahan terhadap tuntutan pasaran kerja.

“Pelajar lebih dekat dengan realiti suasana kerja, menentukan hala tuju hidup dan berpeluang untuk menerima pekerjaan sesuai dengan kelulusan yang dimiliki,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement