Anda di sini

DUN lulus RUU pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995

Advertisement
AIDI MOKTAR
AIDI MOKTAR

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) meminda Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 berkuat kuasa pada 9 September depan.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar berkata, Rang Undang-Undang Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pindaan) 2019 adalah bertujuan meminda Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995 dengan mengadakan takrif 'agama Islam dan takrif Ahli Sunnah Waljama ‘ah' mengikut Seksyen 2.

"Ia seterusnya meminda dan memperkukuhkan Seksyen 52 dengan menjadikan sebatan sebagai salah satu penalti bagi ajaran apa-apa doktrin atau pelaksanaan apa-apa upacara, atau perbuatan berhubungan dengan agama Islam yang berlawanan dengan Hukum Syarak atau mana-mana fatwa yang sedang berkuat kuasa di Negeri Sabah, dan Seksyen 52A iaitu peruntukan yang baharu, yang memperkatakan larangan mengembangkan doktrin agama selain daripada doktrin agama Islam.

"Berdasarkan perkembangan semasa, segelintir umat Islam saling bertelingkah dalam perkara-perkara dasar dan ranting agama yang menyebabkan perpaduan umat semakin longgar dan terancam.

"Sehubungan itu, adalah perlu umat Islam disatukan di bawah satu aliran kefahaman Aqidah, amalan Fiqh dan Syariah serta amalan-amalan Tasawwuf yang muktabar," katanya ketika membentangkan RUU meminda Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995.

Beliau berkata, Islam adalah agama yang menyatukan umat dan mengetepikan pertelingkahan atau perpecahan.

Katanya, sebarang pemikiran, tindakan dan amalan yang menyebabkan perpecahan umat adalah sesuatu yang mesti dielakkan. Begitu juga dengan aliran ajaran sesat yang meresap dalam masyarakat Islam wajar dibanteras supaya umat Islam berada dalam kefahaman amalan yang benar.
 
"Untuk maklumam, Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 2/2016 telah bersetuju memutuskan bahawa umat Islam di Negeri Sabah hendaklah berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut Aqidah, Syariah dan Tasawwuf. Perkara ini telah diwartakan pada 7 September 2017.
 
"Di dalam warta itu, Majlis Fatwa telah menetapkan bahawa takrif Ahli Sunnah Waljama ‘ah adalah seperti Ahli Sunnah Waljama ‘ah, ertinya kelompok majoriti umat Islam yang berpegang kepada al-Quran dan Sunnah dan yang berpegang kepada Aqidah dan Tauhid pegangan Imam Abu Hassan al-Ash’ari dan Imam Mansur al-Maturidi.
 
"Fiqh dan Syariah Mazhab Syafie dan juga Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali, dan pandangan ulama muktabar yang lain; dan Tasawwuf manhaj sufi muktabar seperti Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali," katanya.

Aidi menegaskan kewujudan aliran ajaran sesat dan fahaman melampau merupakan salah satu sebab pindaan itu perlu dilaksanakan dengan kadar segera.

Katanya, setakat 2017, antara fahaman sesat yang diwartakan adalah seperti Aliran dan Dakyah Wahabiah; Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; Fahaman dan Ajaran Hizbut Tahrir; Ajaran dan Pertubuhan Rahmatan Lil ‘Alamin (PERAHMAT) dan Tariqah Hasaniah.

"Antara ajaran sesat lain adalah Black Metal; Ajaran Islam Jama’ah; Fahaman Liberalisme dan Pluralisme; Kumpulan Tal Tujuh; Ajarah Syiah; dan Ajaran Ilmu Makrifat (Mengal Diri) oleh Mohd Cik Wook yang disebarkan oleh Haji Shaari Mohd Yusof.

"Berdasarkan senarai ini, tiga daripada ajaran itu telah dimulakan atau pengasasnya adalah dari Negeri Sabah sendiri, iaitu Ajaran Pertubuhan Rahmatan Lil ‘Alamin (PERAHMAT), Tariqah Hasaniah, dan Ajaran Islam Jama’ah.

"Sementara itu, terdapat tiga daripada ajaran berdasarkan senarai yang dinyatakan tadi iaitu Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim, Fahaman dan Ajaran Hizbut Tahrir, dan Ajaran Syiah, mempunyai fahaman melampau sehingga tahap sanggup untuk melancarkan perang ke atas pemimpin-pemimpin serta kerajaan yang tidak sependapat atau tidak sejajar dengan ajaran mereka," katanya.

Beliau berkata, kewujudan ajaran-ajaran itu, terutama sekali yang berfahaman melampau, bukan saja memberikan kesan yang negatif atau memberikan ancaman keselamatan kepada penduduk yang beragama Islam tetapi kepada semua penduduk di Negeri Sabah tanpa mengira agama dan bangsa.
 
Oleh itu, katanya, RUU atau pindaan berkenaan adalah bertujuan menyekat penularan ajaran sesat dan fahaman melampau untuk mengelakkan kekeliruan serta mengelakkan ancaman keselamatan dalam kalangan penduduk negeri ini.
 
"RUU ini tidak akan melibatkan dan tidak mempunyai implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri," katanya.

  • oleh
  • Advertisement