Anda di sini

Drama dialek Sarawak ‘Qarraba’ terbaik Hari Raya Haji ini di RTM

Advertisement
 Poster drama ‘Qarraba’ yang diselitkan dengan dialek Sarawak lakonan Mahmud Ali Basha sebagai watak utama pada 10 Ogos ini hanya di TV Okey.
KHAS RAYA HAJI INI: Poster drama ‘Qarraba’ yang diselitkan dengan dialek Sarawak lakonan Mahmud Ali Basha sebagai watak utama pada 10 Ogos ini hanya di TV Okey.

SELURUH umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji (10 Zulhijah) bagi negeri-negeri seluruh Malaysia pada Ahad ini bersamaan dengan 11 Ogos 2019 Masehi.

Hari Raya Aidiladha ada keistimewaan dan keberkatan tersendiri walaupun ia tidak semeriah Hari Raya Aidilfitri yang signifikan dengan ibadah berpuasa selama sebulan.

Selain dikaitkan dengan ibadat korban, Zulhijjah juga memiliki banyak kemuliaan yang mungkin kurang diketahui atau diamalkan oleh masyarakat.

Oleh itu, setiap Muslim perlu menggali ilmu supaya tidak tertinggal kelebihan bulan yang bukan saja untuk mengejar ganjaran pahala, bahkan meningkatkan amal dan keimanan kepada Allah.

Aidiladha juga amat signifikan kerana ketika umat Islam daripada segenap pelosok dunia menunaikan ibadat haji, orang Islam di mana-mana pun melakukan ibadat sembelihan yang dapat mendorong kita berkongsi rezeki dengan agihan secara menyeluruh sama ada tergolong dalam kategori kaya atau miskin.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut berkongsi kemuliaan sambutan Raya Haji ini menerusi tayangan drama menarik bermula ‘Qarraba’ disiarkan pada 10 Ogos ini, jam 8.00 malam di TV Okey, manakala esoknya ‘Tetamu Iman’ (11 Ogos, jam 3.05 petang di TV1).

‘Qarraba’ membawakan cerita suami isteri, Husin dan Fatimah mendapat tawaran mengerjakan haji ke Mekah dan tinggal di sebuah rumah panjang di Padawan, Sarawak.

Mereka memikirkan keadaan anak mereka iaitu Ucak dan Saf semasa mereka di Mekah nanti. Ucak cacat selepas demam panas dan perlu berulang ke hospital untuk rawatan masalah pernafasan.

Miring tidak puas hati dengan berita Husin dan Fatimah akan ke Mekah apabila sifat dengki mula menguasai dirinya.

Husin dan Fatimah juga ditegur oleh beberapa penduduk kampung yang berpendapat mereka mengabaikan Ucak dan Saf.

Miring juga bersemuka dengan Husin dan menegur mereka tentang penjagaan Ucak dan Saf.

Husin ditimpa musibah apabila rumahnya telah dimasuki pencuri serta kemalangan lori namun beliau redha dan menganggap sebagai ujian Allah.

Saf panik apabila mendapati Ucak tiada di rumah. Beliau bergegas ke sungai dan sempat menyelamatkan Ucak yang sedang lemas angkara perbuatan Miring.

Untuk mengetahui apakah kesudahan drama ini, jangan lupa untuk menontonnya pada 10 Ogos ini di TV Okey,

Drama yang diselitkan dialek Sarawak ini juga menampilkan pelakon Mahmud Ali Basha, Hartini Adu Rahman, Taridi Mohamad, Kahar Jani dan Mazlan Hipni.

Sementara itu, drama ‘Tetamu Iman’ lakonan Zahiril Adzim, Izzue Islam, Sharonizam Noor, Arel Azimi, Harith Haziq, Safura Ya’cob dan Nur Hidayah Afidzul pula mengisahkan kehidupan Iman yang dipelihara sebagai anak angkat oleh makciknya Saidah setelah kehilangan ibu dan bapanya dalam tragedi kebakaran rumahnya.

Kehadirannya dianggap satu bebanan oleh pakciknya, Jalil yang juga mempunyai dua orang anak kandung.

Hiduplah Iman dengan keluarga angkat seadanya. Sering berlaku pertengkaran antara makcik dan pakciknya kerana makciknya sering menyebelahi Iman dalam banyak perkara.

Malang tidak berbau, makciknya pula meninggal dunia akibat dipatuk ular ketika mengerjakan tanah pusaka Iman.

Pakciknya semakin berang dan menganggap Iman pembawa sial.

Namun Iman menerima cacian tersebut dengan hati yang tenang malah dalam diam banyak membantu pakciknya.

Beliau memberi laluan kepada saudara angkatnya melanjutkan pelajaran walaupun memperolehi keputusan peperiksaan yang lebih baik demi untuk berbakti kepada pakciknya.

Beliau mengusahakan tanah kebun dan berjaya menuai hasil yang lumayan. Sementara saudara angkatnya gagal dalam pekerjaannya sehingga rumah dan tanahnya tergadai.

Advertisement