Anda di sini

RMK-12 perlu tangani jurang pembangunan Sabah-Semenanjung

Advertisement
KHAIRUL FIRDAUS AKBAR
KHAIRUL FIRDAUS AKBAR

BONGAWAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menggesa kerajaan untuk merangka strategi dan program khusus bagi menangani ketidakseimbangan dan jurang pembangunan di antara Sabah dan Semenanjung Malaysia dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketua Penerangannya Khairul Firdaus Akbar berkata, RMK-12 merupakan rancangan pembangunan lima tahun bermula 2021 hingga 2025, justeru amat penting untuk menentukan hala tuju serta tahap pembangunan Sabah pasca tahun 2020 dan menjelang tahun 2030.

Katanya, mengambil kira kerajaan hari ini memberikan fokus kepada agenda kemakmuran bersama, maka kewujudan jurang pembangunan dan ekonomi yang besar antara wilayah harus ditangani pada kadar segera. 

"Matlamat kemakmuran bersama tidak akan berjaya dicapai sekiranya isu-isu pokok seperti jurang pembangunan ekonomi, kadar kemisikinan dan pengangguran masih membelenggu negeri besar seperti Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan dan Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan Bersatu Sabah Zon 3 dan 4, di sini pada Ahad.

Zon 3 melibatkan bahagian Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang manakala Zon 4 terdiri daripada bahagian Tenom, Keningau, Pensiangan dan Ranau.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut merangkap Bendahari Bersatu Sabah Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif dan

Setiausaha Eksekutif Bersatu Sabah Dato Armizan Mohd Ali.

Khairul berkata, difahamkan kerajaan sedang merangka pengisian RMK-12 dan dijangka akan diumumkan tahun hadapan. 

KHAIRUL (duduk, lima dari kiri), Arifin (duduk, empat dari kiri) dan Armizan (duduk, lima dari kanan) bersama ketua penerangan bahagian-bahagian, Srikandi dan Armada pada mesyuarat itu.
KHAIRUL (duduk, lima dari kiri), Arifin (duduk, empat dari kiri) dan Armizan (duduk, lima dari kanan) bersama ketua penerangan bahagian-bahagian, Srikandi dan Armada pada mesyuarat itu.

Sehubungan itu, katanya, Bersatu Sabah akan menggerakkan inisiatif untuk mendengar dan mendapatkan aspirasi penduduk di Sabah berhubung perkara-perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam kandungan RMK-12.

Menurutnya, Jentera Penerangan Bersatu Sabah di seluruh bahagian akan menyelaraskan gerakan untuk mendekati rakyat dan memahami hasrat serta harapan mereka.

Beliau menegaskan, RMK-12 perlu dirangka melalui pendekatan 'bottom-up' untuk memastikan rancangan itu membawa nilai dan makna kepada rakyat di semua peringkat khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah B40.

Katanya, berdasarkan maklum balas akar umbi itu kelak, Bersatu Sabah akan menyediakan Memorandum RMK-12 yang mengandungi aspirasi rakyat dan syor serta cadangan untuk pertimbangan kerajaan.

Advertisement