Anda di sini

Piala Cabaran 2019: Sarawak tidak letak sasaran

Advertisement
 Barisan kesebelasan Sarawak bakal diturunkan pada aksi pembukaan Piala Cabaran 2019 menentang JDT II di Johor malam ini.
TONGGAK: Barisan kesebelasan Sarawak bakal diturunkan pada aksi pembukaan Piala Cabaran 2019 menentang JDT II di Johor malam ini.

KUCHING: Jurulatih interim Sarawak, Mohamad Denny Da’ail tidak meletakkan impian besar pada kempen Piala Cabaran 2019 yang memulakan saingannya hari ini.

Sebaliknya, beliau akan menggunakan kejohanan yang mula diperkenalkan tahun lalu itu untuk mempersiap pasukannya menghadapi aksi ‘play-off’ bagi memburu slot ke Liga Premier tahun depan.

“Kita tidak meletakkan sasaran spesifik pada kempen Piala Cabaran 2019 ini namun sudah tentu akan berusaha melangkah sejauh mungkin berbanding pencapaian tahun lalu.

“Kita sebenarnya lebih memfokuskan persiapan menghadapi perlawanan ‘play-off’ untuk kekal dalam Liga Premier musim depan. Itu lebih mustahak.

“Justeru, kita menggunakan kempen Piala Cabaran ini menguji kemampuan pemain-pemain muda dan saya berharap mereka tidak mensia-siakan peluang ini  beraksi dengan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sarawak memulakan kempen Kumpulan A, Piala Cabaran 2019 menentang Johor Darul Ta’azim II (JDT II) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang malam ini. Turut diundi dalam kumpulan sama ialah Kelantan.

Pada kempen musim lalu, Sarawak sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan.

Menurut Denny, beliau belum memuktamadkan senarai penuh pemain yang akan diturunkan pada perlawanan pembukaan malam ini.

“Namun, yang pasti dua tonggak import iaitu Pedro Henrique Dias dan Hudson Dias akan membuat penampilan mereka masing-masing,” katanya.

Perlawanan kedua-dua pasukan akan bermula jam 8.45 malam ini.

Advertisement