Anda di sini

Lelaki bersenjata bunuh 20 pengunjung Walmart Texas

Advertisement
 (Dari kiri) Ketua Bomba Ejen Khas Emmerson Buie El Paso Mario D’ Agostino, Greg Abbott, Datuk Bandar  Dee Margo dan Greg Allen bercakap pada sidang taklimat media, berikutan serangan bersenjata di El Paso, Texas, kelmarin. — Gambar AFP
SIDANG MEDIA: (Dari kiri) Ketua Bomba Ejen Khas Emmerson Buie El Paso Mario D’ Agostino, Greg Abbott, Datuk Bandar Dee Margo dan Greg Allen bercakap pada sidang taklimat media, berikutan serangan bersenjata di El Paso, Texas, kelmarin. — Gambar AFP

EL PASO: Seorang lelaki bersenjatakan raifal membunuh 20 orang kelmarin apabila dia menembak pengunjung di sebuah kedai Walmart yang sesak di Texas, serangan besar-besaran terbaharu di Amerika Syarikat (AS).

Sementara Presiden Donald Trump mengetuai kecaman ke atas ‘perbuatan pengecut’ yang polis anggap sebagai jenayah kebencian, seruan bergema untuk menamatkan ‘wabak’ keganasan senjata api.

Ia merupakan serangan berdarah kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu di sebuah kedai Walmart di AS dan berlaku ekoran serangan besar-besaran di California pada hujung minggu lepas.

Seorang suspek ditahan reman manakala pihak berkuasa meneliti manifesto pelampau yang didakwa ditulis oleh lelaki bersenjata berkenaan.

Rakaman telefon kamera menunjukkan beberapa mayat di tempat letak kereta kedai terbabit manakala rakaman lain menunjukkan pengunjung yang ketakutan berlari keluar dari kedai sementara bunyi tembakan bergema.

“Seramai 20 orang tidak bersalah dari El Paso telah kehilangan nyawa,” kata Gavenor Texas Greg Abbott pada satu sidang akhbar.

“Kita sebagai sebuah negeri bersatu untuk menyokong mangsa ini dan anggota keluarga mereka. Kita berdoa agar Tuhan bersama mereka yang telah cedera dan membaluti luka mereka.”

Ketua polis Greg Allen mengesahkan selain 20 kematian yang disahkan, 26 mangsa mengalami kecederaan.

Beberapa laporan berita menyebut usia mangsa yang dirawat di hospital adalah dari dua hingga 82 tahun.

Polis berkata Walmart “penuh kapasiti” pada waktu serangan, dengan 1,000-3,000 pelanggan di dalam.

Polis mengesahkan seorang pemuda berusia 21 tahun dari Allen, Texas, adalah satu-satunya orang yang ditahan reman. Media AS menyebut namanya sebagai Patrick Crusius, yang berkulit putih. Dia menyerah diri kepada polis kira-kira satu blok dari kedai Walmart terbabit.

“Buat masa sekarang, kita ada manifesto dari individu ini yang menunjukkan ke tahap tertentu, ia mempunyai kaitan yang berpotensi dengan jenayah kebencian,” kata Allen.

“Manifesto” yang didakwa ditulis oleh Crusius dan diedarkan dalam talian itu turut mengandungi perenggan yang mengecam “serangan Hispanik” ke atas Texas dan penulisnya menjelaskan dia menjangkakan pembunuhannya dalam serangannya itu.  

Saksi berkata lelaki bersenjata itu dipercayai menembak secara rambang ketika dia melepaskan tembakan sekitar jam 10.30 pagi.

Seorang wanita, yang memberikan namanya sebagai Vanessa, berkata dia baharu sahaja tiba di tempat letak kereta Walmart apabaila serangan bermula.

“Kita mendengar bunyi pop, satu demi satu dan ketika itu, ketika saya menoleh, saya melihat seorang wanita, yang sedang keluar dari Walmart, menuju ke keretanya. Dia membawa barang runcit dalam kart dan melihat dia jatuh begitu sahaja,” katanya kepada Fox News.

Saksi itu berkata lelaki bersenjata terbabit memakai kemeja hitam, seluar tempur dan memakai sarung pemanas telinga.

“Dia menembak secara rambang. Ia tidak menyasari seseorang secara khusus. Sasarannya sesiapa sahaja yang melintasi laluan.”

Seorang pelanggan menceritakan bagaimana dia berjaya mengelak tembakan dengan bersembunyi bersama ibunya di antara dua mesin layan diri yang terletak di luar kedai.

“Di sanalah individu itu cuba menembak saya, tetapi dia tersasar kerana saya tunduk ke bawah,” kata Robert Curado kepada akhbar El Paso Times.

Video yang dirakamkan oleh seorang saksi di tempat letak kereta sejurus selepas kejadian menunjukkan tiga orang yang terlantar di atas tanah tanpa bergerak.

Seorang jatuh di sebelah sebuah trak, manakala dua lagi di laluan jalan kaki di luar pintu masuk kedai.

“Ambulans! Tolong!” orang menjerit ketika mereka bergegas mendapatkan mangsa.

Satu imej pegun yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki bersenjata itu membawa senjata api yang dipercayai jenis AK-47.

Trump, yang membuang masa pada hujung minggu di kelab golfnya di New Jersey, berkata serangan itu “bukan sahaja tragis, tetapi ia adalah satu perbuatan pengecut”.

“Sebab atau alasan tidak ada untuk mewajarkan tindakan membunuh orang tidak bersalah,” katanya dalam Twitter. — AFP

Advertisement