Anda di sini

GLC ladang kelapa sawit digalakkan perluas RND

Advertisement
SHAFIE tertarik dengan RND yang dijalankan semasa mengadakan lawatan ke Balung.
SHAFIE tertarik dengan RND yang dijalankan semasa mengadakan lawatan ke Balung.

TAWAU: Kerajaan Negeri menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor perladangan kelapa sawit meluaskan kajian dan penyelidikan (RND) masing-masing.

Khususnya, dalam usaha untuk mengurangkan kos operasi syarikat tetapi pada masa sama meningkatkan keuntungan menerusi pendekatan-pendekatan inovasi yang dijalankan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata inisiatif perlu diambil lebih-lebih lagi ketika komoditi itu mengalami situasi tidak menentu di pasaran dunia.

“Kita perlu mengambil langkah untuk sentiasa kompetetif bukan sahaja dari segi kos bahkan dari segi produksi kapasiti menerusi pelbagai pendekatan-pendekatan kreatif.

“Kita menggalakkan RND dikembangkan untuk meningkatkan keupayaan ladang-ladang kelapa sawit di Sabah dapat meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kos operasi.

 “Jika itu boleh diseimbangkan, kita boleh memaksimakan keuntungan,” katanya, dalam sidang media semasa melawat ladang milik Sawit Kinabalu di Balung, di sini pada Ahad.

 Shafie berkata semua GLC termasuk syarikat swasta lain dan pekebun-pekebun kecil di negeri ini perlu lebih kreatif serta memanfaatkan persekitaran masing-masing.

Mengulas lanjut, beliau memuji inisiatif Sawit Kinabalu sebagai salah satu GLC kerajaan negeri yang banyak mengambil pendekatan-pendekatan inovasi dalam pengoperasiannya.

“Kita tertarik dengan usaha GLC ini menghasilkan jentera mekanikal pelbagai fungsi dan ternakan lembu dalam ladang yang secara tidak langsung mengurangkan kos operasinya.

“Kita lihat langkah-langkah yang dilakukan Sawit Kinabalu ini juga dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh serta meningkatkan produktiviti mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengulangi harapannya supaya pemain-pemain ladang kelapa sawit di negeri ini berhenti daripada membuka ladang kelapa sawit yang baharu.

Menurutnya, walaupun pembukaan ladang penanaman kelapa sawit di Sabah belum mencapai tahap maksimum, namun pihak terbabit digalakkan melihat tanaman baharu.

“Misalnya pokok keras, ada saintis yang berjumpa dengan saya memberitahu bahawa ada spesis pokok keras yang tidak perlu menunggu masa hingga 30 tahun untuk ditebang.

“Tetapi, memadai menunggu masa antara 10 hingga 15 tahun sebelum boleh ditebang, dan boleh dipasarkan untuk industri perkayuan seperti perabot dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh hal berkaitan, beliau menggalakkan program deforestasi menjelang tahun 2035 melalui usaha penanaman semula pokok hutan dan menghadapi perubahan cuaca.

Dalam lawatannya ke Balung juga, Shafie dan rombongan turut melawat Kilang Pemprosesan Makanan Ternakan dan Pusat Pengeluaran Biji Benih sebelum berlepas balik ke Kota Kinabalu.

  • oleh
  • Advertisement