Anda di sini

Dakwah penuh kasih sayang dalam ‘Usrah Hikmah’

Advertisement
 Antara episod Usrah Hikmah.
MENARIK: Antara episod Usrah Hikmah.

DALAM usrah adanya hikmah dan berlakunya proses pemindahan pengalaman antara seorang mu’allim dengan murabbi yang bersumberkan Al-Quran, As- Sunnah dan terikat dengan jadual masa secara bertahap dan terarah.

Kemanisan usrah diperolehi bila ianya disampaikan umpama dalam satu keluarga. Kita bayangkan satu situasi apabila lemah ada orang tolong, ada orang sokong kita, beri kasih sayang dan sebagainya.

Teruskan sebarkan dakwah dengan kasih sayang, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkongsi tayangan program ‘Usrah Hikmah’ yang disiarkan mulai 2 Ogos lepas, setiap Jumaat, jam 11.30 pagi menerusi TV1. 

Kelainan diberikan menerusi program ini kerana mesej yang ingin disampaikan dalam bentuk sketsa / lakon semula dan tajuk berbeza dalam setiap episod.

Ia turut menampilkan pengacara Imam Muda Omar Mokhtar menemubual penceramah undangan mengupas topik tertentu antaranya bersama-sama Ustaz Mohamad Akmal Aziz, Dr. Elmi Bahruddin, dan Ahmad Azmi Haji Hassan.

Ikuti perkongsian sketsa bertajuk ‘Sepandai-pandai Tupai Melompat’ yang membawakan kisah seorang pekerja sebuah restoran yang mengkhianati kepercayaan tuannya.

Pekerja yang diberikan tanggungjawab untuk menjaga peti wang restoran itu bersikap tidak amanah dengan mencuri wang tanpa menyedari bahawa perbuatannya itu dirakam melalui CCTV.

Tokoh agama yang diundang telah memberikan nasihat tentang keburukan sifat-sifat khianat sambil memberikan bukti-bukti yang diambil daripada ayat Al-Quran.

Seterusnya dalam sketsa yang bertajuk, ‘Mimpi Tak Selalunya Indah’ mengaitkan sikap sepasang suami isteri yang terlalu mementingkan harta benda sehingga menjadi lalai dan leka dalam kehidupan.

Bagi mereka kemewahan seperti wang, kereta besar dan rumah mewah adalah segala-galanya sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.

Akhirnya mereka ditimpa musibah akibat mengamalkan rasuah. Seorang tokoh agamawan lantas menjelaskan tentang keburukan sikap tersebut dan mengajak masyarakat merujuk panduan-panduan yang terkandung dalam Al-Quran serta mengamalkan sikap hidup yang mulia.

Menarik dalam tajuk ‘Hitam-hitam Si Tampuk Manggis’ yang menggambarkan perbuatan membuli orang yang lemah oleh sekumpulan remaja.

Walau bagaimanapun, pada suatu hari budak yang menjadi mangsa buli itu telah berjasa membantu orang-orang yang telah membulinya. Akhirnya remaja yang menjadi pembuli tersebut menjadi insaf atas perbuatan mereka dan mengakui bahawa seseorang yang sering dianggap lemah sebenarnya sangat berhati mulia dan tidak harus dianiaya.

Berikutnya paparan tentang seorang lelaki yang berpendidikan tinggi dan bekerjaya yang tidak bersopan serta tidak memiliki sifat sabar. Pada suatu hari dia telah tidak sengaja terlanggar oleh seorang tua, lantas dia memarahi orang tua tersebut.

Tidak berapa lama daripada peristiwa itu pemuda itu perlu berjumpa dengan tuan punya sebuah syarikat dan kebetulan pemilik perusahaan itu adalah orang tua yang pernah dimarahinya dulu. Orang tua itu telah menasihatinya. Adakah dia berasa amat menyesal akan perbuatannya yang tidak sabar dan tidak bersopan itu?

Ada juga perkongsian sketsa yang bertajuk ‘Sejuk Perut Ibu’ dengan mengetengahkan usaha seorang anak kecil mencari rezeki untuk keluarganya dengan menjual keropok dan kertas tisu. Kegigihan kanak-kanak itu seharusnya menjadi iktibar kepada anggota masyarakat yang melihatnya. Sehinggakan ada anggota masyarakat yang berdoa agar Allah akan mengurniakannya seorang anak yang bersikap sedemikian.

Penceramah undangan juga telah menyampaikan makna sebaris ayat Al -Quran dalam Surah Saba tentang keklebihan orang-orang yang ikhlas menderma pada hari akhirat kelak.

Ikuti keseluruhan 13 episod program penuh manfaat ini di TV1.

Advertisement