TAWAU: Sudah tiba masanya pembangunan kepimpinan generasi baharu yang bersatu tanpa dihantui sikap rasis diaktifkan sebagai ‘gelombang gerakan massa’ di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata rakyat perlu keluar dari momokan perbezaan agama dan kaum untuk memastikan hubungan perpaduan dipelihara.
“Kita mahukan kesatuan yang tidak terbatas oleh perbezaan agama dan kaum, supaya kita lebih bersedia untuk menghadapi cabaran serta kekangan ekonomi yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita usai program FitMalaysia Peringkat Negeri Sabah di Padang Bandaran Tawau di sini pada Ahad, yang dihadiri 20,000 peserta.
Beliau optimis Malaysia mampu bangkit kerana memiliki banyak kekayaan sumber dan resepi untuk muncul kuasa besar dalam pembangunan ekonomi di rantau Asia Tenggara.
“Saya yakin kita boleh menerapkan perkara (gelombang penyatuan) ini, bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos yang bakal tiba,” katanya.
Menurutnya, masalah perbezaan agama dan kaum tidak boleh dibiarkan menjadi penghalang pembangunan negara, sebaliknya semangat patriotik perlu diperkasakan.
Shafie berkata rakyat perlu menerapkan semangat cintakan tanahair, pembangunan negara dan negeri, serta menjaga tahap kesihatan diri masing-masing.
“Jangan kita bergaduh kerana tidak ada manfaatnya, lihatlah keadaan yang berlaku di Yaman, Israel dan Palestin akibat pergolakan berkaitan isu agama dan kaum,” katanya.
Menyentuh program FitMalaysia pula, beliau teruja dengan sambutan warga Sabah dan menyifatkan sukan sebagai instrumen penting untuk perpaduan nasional.
Beliau berkata program kesukanan seperti FitMalaysia perlu diperbanyakkan untuk membolehkan interaksi sesama orang muda di negeri ini sentiasa disemarakkan.
“Kita yakin program sebegini bukan sahaja dapat menerapkan budaya kekitaan dalam bidang sukan, bahkan melahirkan masyarakat yang sihat tubuh badan dan pemikiran.
“Saya dapati program sebegini cukup baik untuk menerapkan nilai budaya positif kerana dalam kehidupan, kita mungkin boleh mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi.
“Tetapi, kita tidak akan beroleh kecemerlangan jika tidak disertai dengan nilai-nilai positif yang boleh memberikan manfaat kepada anak bangsa dan negara kita,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia Syed Saddiq Abdul Rahman bersetuju dengan Shafie dan menyifatkan Sabah sebagai sebuah negeri contoh dalam konteks keharmonian kaum.
“Kalau kita lihat di Sabah, semua orang tanpa mengira agama boleh disatukan melalui sukan dan saya lihat Sabah paling meriah (penyertaan di dalam program FitMalaysia).
“Saya berharap budaya cintakan negara walaupun berbeza agama dan kaum seperti yang diamalkan orang Sabah dapat diterapkan kepada seluruh rakyat di negara ini,” katanya.
Untuk rekod, program FitMalaysia di Tawau yang ketiga pernah diadakan di negeri ini selepas Teluk Likas Kota Kinabalu pada 2014 dan Padang Bandaran Sandakan (2016).
Pada tahun ini juga, empat lagi negeri yang turut terpilih sebagai tuan rumah FitMalaysia selain Sabah melibatkan Selangor, Terengganu, Pulau Pinang dan Johor.