Anda di sini

Kem ‘Road To UPSR’ 2019 diharap tingkatkan pencapaian SK Senadin

Advertisement
 Guru-guru dan murid-murid yang mengambil bahagian dalam Kem Road To UPSR 2019.
KE ARAH KECEMERLANGAN: Guru-guru dan murid-murid yang mengambil bahagian dalam Kem Road To UPSR 2019.

SEIRING usahanya yang mahu meningkatkan pencapaian pelajar dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Senadin, menganjurkan program perkhemahan, Kem ‘Road To UPSR’ 2019.

Program selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad itu telah berlangsung baru-baru ini di Taman Negara Niah, anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Senadin.

Penyelaras program, Umi Shamsiah Abu Bakar memberitahu, Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Jawatankuasa Kecemerlangan SK Senadin telah merangka dan merancang program motivasi itu untuk membina jati diri serta motivasi murid-murid tahun enam.

“Pelaksanaan program ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada murid-murid tentang pentingnya untuk berubah menjadi yang terbaik dan mencapai kecemerlangan dalam UPSR 2019 nanti.

“Semoga dengan adanya program motivasi ini, diharapkan dapat membantu murid-murid tahun enam untuk berubah ke arah yang lebih positif demi mencapai kecemerlangan yang diimpikan,” ujar beliau.

 Murid-murid turut diberi bimbingan untuk meningkatkan keyakinan diri mereka bagi menghadapi UPSR.
KEYAKINAN: Murid-murid turut diberi bimbingan untuk meningkatkan keyakinan diri mereka bagi menghadapi UPSR.
 Para pelajar diberi bimbingan untuk meningkatkan jati diri mereka.
JATI DIRI: Para pelajar diberi bimbingan untuk meningkatkan jati diri mereka.

Selain itu katanya, matlamat utama program tersebut diadakan ialah bagi membantu meningkatkan pencapaian UPSR Tahun 2019, di samping membantu calon-calon meningkatkan kemahiran menguruskan diri dalam menghadapi UPSR.

“Kita juga mahu melalui program ini kelak, murid-murid yang terbabit dapat meningkatkan tahap keyakinan diri mereka dan melakukan persediaan dalam menghadapi UPSR,” tambahnya lagi.

Umi memberitahu seramai 80 murid tahun enam, yang bakal menduduki UPSR tahun ini telah menyertai program tiga hari bersama 16 guru dan seorang penceramah yang menjayakan program berkenaan.

Katanya, pengisian program tertumpu kepada ceramah, latihan dalam kumpulan (LDK) dan aktiviti senaman.

Kem Road To UPSR 2019 itu telah dirasmikan sendiri oleh guru besar sekolah merangkap pengerusi jawatankuasa program, James Nibong.

Advertisement