Anda di sini

Hamza bin Laden sudah terbunuh: Media AS

Advertisement

WASHINGTON: Hamza, anak Osama bin Laden yang dipilih untuk mewarisi kepimpinan Al-Qaeda, sudah terbunuh, media Amerika Syarikat (AS) melaporkan kelmarin sambil memetik pegawai Amerika.

NBC News berkata tiga pegawai AS mengesahkan mereka ada maklumat me-ngenai kematian Hamza bin Laden, tetapi tidak memberi maklumat mengenai tempat atau tarikhnya.

Akhbar The New York Times seterusnya memetik dua pegawai AS yang me-nyatakan mereka ada pengesahan bahawa dia terbunuh dalam tempoh dua tahun lalu dalam satu operasi yang melibatkan AS.

Ditanya oleh pemberita di Oval Office, Presiden Donald Trump tidak mengesahkan mahupun menafikan laporan NBC.

“Saya tidak mahu mengulas mengenainya,” katanya.

Kedua-dua laporan membayangkan Hamza bin Laden mungkin telah terbunuh lama sebelum Jabatan Negara AS mengenakan ganjaran AS$1 juta (RM4.2 juta) ke atasnya pada Februari 2019.

Hamza, anak Osama bin Laden yang ke-15 daripada 20 orang anaknya dan anak isterinya yang ketiga, dan dipercayai berusia sekitar 30 tahun, “muncul sebagai seorang pemimpin dalam francais Al-Qaeda”, kata Jabatan Negara ketika mengumumkan ganjaran tersebut.

Kadang-kadang digelar “putera mahkota jihad, dia telah mengeluarkan mesej audio dan video untuk me-nuntut serangan ke atas AS dan negara lain, terutamanya untuk membalas dendam ke atas  pembunuhan bapanya oleh tentera AS di Pakistan pada Mei 2011, kata jabatan itu.

Dokumen yang dirampas dalam serbuan ke atas rumah bapanya di Abbottabad membayangkan Hamza sedang diasuh untuk menjadi pewaris kepimpinan Al-Qaeda.

Tentera AS turut menjumpai video perkahwinan Hamza dengan anak seorang lagi pegawai kanan Al-Qaeda yang dipercayai berlangsung di Iran.

Lokasi sebenar Hamza bin Laden tidak pernah disahkan. Dia dipercayai berada dalam tahanan rumah di Iran tetapi laporan membayangkan dia juga mungkin telah tinggal di Afghanistan, Pakistan dan Syria.

Kepentingan Al-Qaeda, kumpulan di sebalik serangan berdarah ke atas AS pada 11 September 2001, sebagai sebuah kumpulan radikal Islam sudah pudar sejak sedekad lalu dalam bayang-bayang kumpulan Daesh (IS).

Namun penubuhan cawa-ngan dan kumpulan pelampau berkaitan di Afghanistan, Yaman, Syria dan negara lain menggariskan bahayanya yang berterusan.

Di sisi bapanya di Afghanistan sebelum serangan 9/11, Hamza belajar bagaimana untuk mengendalikan senjata, dan dengan suaranya yang halus menyelar orang Amerika, orang Yahudi dan “pejuang salib” dalam video yang dimuat naik dalam tali-an.

Pada 2016, Al-Qaeda me-ngeluarkan mesej video di mana dia menggesa IS dan kumpulan pelampau lain di Syria untuk bersatu, dengan dakwaan bahawa peperangan di negara bergolak itu membuka jalan kepada kejayaan untuk “membebaskan Pa-lestin”. — AFP

Advertisement