Anda di sini

Kerajaan ambil serius isu dokumentasi kanak- kanak luar bandar

 Mencapai Perpaduan dalam Masyarakat Plural', di sebuah hotel dekat sini, pada Khamis.
HASHIM (empat, kanan) merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat lain dan penceramah Persidangan Kebangsaan ke-9 Mengenai Bukan Diskriminasi: 'Malaysia Baru: Mencapai Perpaduan dalam Masyarakat Plural', di sebuah hotel dekat sini, pada Khamis.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memandang serius isu-isu kerakyatan khususnya melibatkan kanak- kanak yang lahir di negeri ini berstatus warganegara dan tinggal di luar bandar tetapi belum memiliki dokumen diri.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, isu itu perlu diatasi segera bagi memastikan kanak- kanak yang sememangnya lahir di negeri ini boleh berdaftar untuk bersekolah kelak.

"Saya yakin tiada kumpulan etnik di Sabah yang dapat melepaskan diri dari isu-isu dokumentasi yang mana kebanyakan kes ini berlaku disebabkan pendaftaran tidak berlaku pada masa tepat.

"Masih ada ribuan kanak-kanak dari kumpulan etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus, penduduk Lundayeh yang tinggal di Long Pasia atau di Pantai Timur Sabah di mana ibu bapa gagal mendaftarkan anak-anak mereka yang baru lahir.

"Oleh itu, usaha serius perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini untuk mengelakkan masalah mendapatkan pendaftaran di sekolah pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan ke-9 Mengenai Bukan Diskriminasi: 'Malaysia Baru: Mencapai Perpaduan dalam Masyarakat Plural', di sini pada Khamis.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hashim Paijan.

Dalam pada itu Shafie berkata, statistik Gabungan NGO Negeri Sabah (Gannos) menunjukkan terdapat kira- kira 60,000 orang di Sabah masih belum ada dokumen pengenalan diri sah walaupun memiliki asal usul dari negeri ini.

Sehubungan itu, kerajaan komited mengatasi masalah keciciran warganegara yang tiada dokumen ini bagi memastikan anak- anak mereka stabil dan terjamin dari kehidupan bebas daripada jenayah dan sosial.
 
"Saya telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan serta NGO dan juga cawangan Parti Warisan Sabah untuk sama-sama membantu.

"Malah, kita juga mempunyai Badan Kehakiman yang mempunyai mahkamah mudah alih untuk mendaftarkan kelahiran lewat dan menyediakan perkhidmatan lain untuk membolehkan rakyat Sabah mendapatkan dokumen yang diperlukan," katanya.

Selain itu, beliau menggesa penduduk di negeri ini khususnya pemimpin-pemimpin tempatan supaya tidak memainkan sentimen kewarganegaraan atau kerakyatan sesuka hati tanpa usul periksa.

Katanya, tidak dinafikan kebelakangan ini rakyat Sabah amat bimbang kehilangan kuasa ekonomi dan hak tanah mereka dari diambil oleh warga asing iaitu PTI sehingga menimbulkan xenophobia.

Namun katanya, isu ini perlu difahami dan dikaji terlebih dahulu untuk mencari punca utama berlakunya penghijrahan PTI ke negeri ini sama ada haram atau sebaliknya.

"Dengan memahami faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena ini, saya berharap, bukan hanya xenofobia tetapi masalah sosial juga akan dapat dikurangkan dengan serta merta.

"Saya berjanji akan memastikan semua pihak termasuk NGO dan pemimpin tempatan berhenti menggunakan sentimen ini dan bersatu mencari jalan penyelesaian tepat mengenai isu PTI," katanya.

Bagaimanapun, beliau berbangga dengan semangat rakyat Sabah berbilang etnik yang sentiasa mengekalkan keharmonian sejagat dengan menerima kehadiran satu sama lain.

Katanya, ia menunjukkan rakyat negeri ini bijak dalam menangani isu perkauman dan diskriminasi yang cuba dibangkitkan oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, seramai 134 peserta dari pelbagai jabatan, Ngo dan dan pemimpin komuniti tempatan yang hadir pada persidangan berkenaan.