Anda di sini

Indonesia kerah ribuan anggota keselamatan padam kebakaran hutan

Advertisement
Petugas cuba memadam kebakaran ladang kelapa sawit di Pekanbaru Riau pada 20 Julai 2019 - Gambar AFP/Wahyudi

JAKARTA: Indonesia mengisytiharkan darurat di enam wilayah di pulau Sumatra dan Kalimantan berikutan kebakaran hutan dan mengerahkan ribuan tentera serta polis ke lokasi terjejas, lapor agensi berita Vietnam (VNA). 

Menurut jurucakap Agensi Pengurangan Bencana Negara, Agus Wibowo, jumlah kawasan panas yang dikesan di seluruh negara sejak 31 Julai lalu semakin meningkat, dengan 124 daripadanya berisiko mencetuskan kebakaran. 

Kerajaan mengumumkan darurat di wilayah Riau, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Jambi, Kalimantan Selatan dan Kalimantan Tengah, meliputi kawasan tanah gambut yang luas.

Pihak berkuasa telah membawa 5,679 anggota tambahan terdiri tentera, polis dan agensi pengurangan bencana untuk ditempatkan di lima wilayah. 

Pesawat padam kebakaran turut dihantar bagi menyembur air ke arah hutan yang terbakar.

Di Riau, pihak berkuasa bencana telah menyediakan 17 helikopter, dengan 10 buah lagi disumbangkan syarikat swasta, tentera dan kementerian perhutanan, katanya.

Kerajaan juga merancang membuat hujan buatan. 

Sementara itu, pegawai kementerian penyelaras bagi pembangunan manusia Dody Usodo Hargo Suseno berkata 50 juta daripada 260 juta penduduk Indonesia di 28 daripada 34 wilayah terjejas akibat kemarau. - Bernama 

Advertisement