Anda di sini

Angelina Jolie, Mahershala Ali bintang terbaharu dalam dunia Marvel

Advertisement
ANGELINA JOLIE
ANGELINA JOLIE

MARVEL Studios milik Walt Disney Co. baru-baru ini mengumumkan beberapa buah filem adiwira yang penuh dengan bintang bagi tempoh dua tahun akan datang termasuk Angelina Jolie dalam ‘The Eternals’, Mahershala Ali dalam pembikinan semula bagi filem ‘Blade’ dan Natalie Portman sebagai ‘Thor’ wanita.

Pengumuman yang dibuat di San Diego Comic-Con mencartakan landasan Marvel ekoran filem ‘blockbuster’ mega ‘Avengers: Endgame’, yang akhirnya mengatasi filem pada 2009 ‘Avatar’ sebagai filem dengan pungutan tertinggi sepanjang zaman.

Jolie muncul di atas pentas di hadapan 6,500 peminat yang bersorak, selain anggota barisan pelakon ‘Eternals’ yang lain termasuk Richard Madden, Kumail Nanjiani dan Salma Hayek.

Cerita mengenai sekumpulan makhluk asing yang hidup abadi itu akan mengadakan tayangan sulung pada November 2020.

“Saya akan bekerja 10 kali lebih kuat,” kata Jolie ketika ditanya  bagaimana dia akan menangani wataknya sebagai Thena.

“Kita semua tahu tugasan yang bakal dipikul, dan kita tahu apa yang anda sewajarnya terima, dan oleh itu kami semua akan bekerja dengan sangat kuat.”

“Jadi saya sedang berlatih dan teruja,” tambahnya.

Disney turut memberitahu, ia akan mengeluarkan ‘Thor: Love and Thunder’, filem ‘Thor’ keempat, pada November 2021.

Portman, yang membintangi beberapa buah filem sebelum ini sebagai teman wanita Thor lakonan Chris Hemsworth, akan membawa tukul adiwira itu sebagai dewi guntur.

“Ia rasa agak bagus,” kata Portman di atas pentas. “Saya sentiasa mempunyai rasa cemburu sedikit mengenai tukul.”

Ali, yang baru-baru ini memenangi anugerah Oscar untuk ‘Moonlight’ dan ‘Green Book’, mengejutkan hadirin dengan menaiki pentas dan memakai topi besbol dengan logo untuk ‘Blade’, watak yang dilakonkan dalam filem pada 1998 oleh Wesley Snipes.

Tiada maklumat diberikan tetapi orang ramai memberikan tepukan gemuruh.

Filem-filem itu akan menjadi sebahagian daripada FAS 4 bagi Marvel Cinematic Universe (MCU) yang bermula dengan ‘Iron Man’ pada 2008 dan sudah menjana lebih AS$22 bilion di ‘box office’ seluruh dunia.

Filem lain yang akan datang termasuk ‘Doctor Strange in the Multiverse of Madness’, yang digambarkan oleh pengarah Scott Derrickson sebagai “filem MCU menakutkan yang pertama”, dan ‘Shang-Chi and The Legend of the Ten Rings’ yang dibintangi pelakon China, Tony Leung, Awkwafina dan pendatang baharu Simu Liu, yang baru-baru ini menyatakan dia telah dipilih untuk memegang watak utama.

Scarlett Johansson memperkenalkan treler yang sarat dengan aksi untuk ‘Black Widow’. Dalam satu wawancara, aktres itu berkata memiliki filem yang berdiri sendiri bagai watak ‘Avengers’ itu “menyentak minda”.

“Saya harap ia menambah gambaran berpijak di bumi nyata yang cekal, yang umpama tumbukan padu di bahagian perut, dan juga tumbukan harfiah di bahagian perut,” katanya. “Kita semua dibelasah dengan teruk!”

Presiden Marvel Studios Kevin Feige mengesahkan sebuah filem ‘Fantastic Four’ yang akan datang selain sekuel kepada ‘Black Panther’ dan ‘Captain America’.

Feige turut memberi previu mengenai siri Marvel yang sedang dibuat untuk servis TV striming Disney+ yang akan mengadakan tayangan sulung pada November. Ia termasuk ‘Loki’, ‘Hawkeye’ dan siri animasi ‘What If’.

Kisah-kisah yang diceritakan dalam Disney+ akan diolah menjadi filem Marvel, kata Feige.

Contohnya, Wanda lakonan Elizabeth Olsen akan membintangi siri ‘WandaVision’ dan dalam filem ‘Doctor Strange’ yang baharu.

“Pasukan sama yang bekerja dalam filem tersebut akan bekerja dalam siri terhad acara mega ini,” kata Feige dalam satu wawancara. “Semuanya saling berkaitan sepenuhnya.” — Reuters

Advertisement