Anda di sini

Bintulu, pekan ‘Ba’ie’ yang kini bergelar ‘Kota Tenaga’

 Keadaan perkampungan terpencil Bintulu yang lama satu ketika dahulu.
TINGGAL KENANGAN: Keadaan perkampungan terpencil Bintulu yang lama satu ketika dahulu.
 Keadaan Bintulu kini yang dirakam pada waktu malam.
PESAT MEMBANGUN: Keadaan Bintulu kini yang dirakam pada waktu malam.
__alt__

PADA tahun 1930-an hingga 1970-an, Bintulu hanyalah sebuah perkampungan nelayan terpencil dengan jumlah penduduk yang sangat sedikit namun perkampungan itu telah menyusuri liku-liku sejarah yang panjang untuk membangun menjadi sebuah bandar besar, lebih-lebih lagi selepas penemuan sumber minyak dan gas cecair asli berharga di luar pantainya.

Penemuan minyak dan gas itu juga bukan sahaja membawa kepada pertumbuhan industri besar-besaran di bandar itu dan ekonomi negeri ini bermula sekitar tahun 1970-an, bahkan menyumbang besar dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Begitupun liku sejarah itu tidak akan dilupakan malahan tetap menjadi ingatan penting penduduk Bintulu untuk maju dan melihat ke hadapan dalam membantu pembangunan Bintulu sehingga ke hari ini.

Memandangkan Bintulu menjadi tuan rumah sambutan Hari Sarawak 2019 tahun ini, beberapa penduduk Bintulu melihat sambutan semalam amat sinonim dengan perkembangan Bintulu itu sendiri.

Meskipun Bintulu rancak membangun namun bandar itu turut menyimpan pelbagai sejarah dan khazanah berharga yang wajar dikongsi ceritanya dan diketahui generasi muda anak Bintulu termasuk orang luar.

‘BINTULU

CENTENARY’

Pengerusi Badan Warisan Sejarah Dan Kebudayaan Vaie Bintulu (BAWARIS) Kairulnieza Waynie, 46, berkata, sebagai anak jati Bintulu yang mendokong keprihatinan sejarah bandar ini, beliau bukan sahaja amat berbesar hati dan teruja apabila mendapat tahu Bintulu dipilih sebagai tuan rumah untuk sambutan hari bersejarah Sarawak bahkan menganggapnya sebagai satu penghormatan terbesar buat warganya memandangkan program ini pertama kali dibuat di luar bandar Kuching.

Beliau yang juga Pengerusi Skuad Prihatin Berkhidmat Berbakti (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) N67 Jepak berkata, Bintulu pernah meraikan hari bersejarah pada 1961 dengan tema ‘Bintulu Centenary’, satu keramaian melibatkan ribuan masyarakat berbilang kaum berpesta menyambut 100 tahun kewujudan Bintulu.

“Sebuah makalah telah pun diedar pada masa tersebut yang mana isinya berkenaan cerita-cerita sejarah Bintulu.

“Kulit muka buku yang diilhamkan saudara Allahyarham Awang Jawa Pengiran Tajuddin telah dipilih sebagai pemenang,” jelasnya.

“Bintulu pada asalnya hanya digelar Ba’ie oleh masyarakat, sebuah perkampungan kecil yang didiami para nelayan dan petani sahaja.

“Antara kampung terawal dalam sejarahnya adalah Kampung Kelajat dan Sebezaw yang terletak di muara dan sepanjang Sungai Sebiew sekarang,” katanya lanjut.

“Rumah besar (rumah panjang Vaie) berdiri megah di muara Sungai Sebiew dan Sungai Qaqeb menjadi penempatan kelompok pertama masyarakat di sini sebelum abad ke-17 lagi.

“Sehinggalah lahir ketua masyarakat Vaie iaitu ‘Berngek’ dan ‘Jaleb’,” kata Kairulnieza.

“Kisah Berngek dan Jaleb ini tertulis dalam makalah ‘Bintulu Centenary’.

“Kehadiran pemerintah Brooke pada awal abad ke-18 telah merubah landskap Bintulu daripada sebuah perkampungan menjadi sebuah pekan kecil dengan berdirinya pasar kecil, Fort Keppel dan struktur bangunan kerajaan di kawasan bandar lama Bintulu sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata, pada 1938 dataran panjang dibina untuk persediaan kapal terbang mendarat digunakan pihak British semasa Perang Dunia Ke-II sehinggalah Kerajaan Jepun berkuasa pada 1941, Bintulu sekali lagi berubah landskapnya.

Justeru katanya, sempena Hari Sarawak di Bintulu ini BAWARIS mencadangkan agar Kerajaan Negeri membina semula replika bersejarah Bangunan Fort Keppel untuk tatapan generasi mendatang.

“Kita juga mahu Kerajaan Negeri menamakan jambatan baharu yang dipecah tanah pada 22 Julai sebagai ‘Jambatan Bintulu’ bagi mengambil nama asal Sungai Kemena yang dahulunya dikenali sebagai Sungai Bintulu,” ujarnya yang juga Penolong Pegawai Perikanan Kanan di Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu.

TATAU SEIRING

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Anak Tatau (PERANTAU) Mohd Rizal Julaihi berkata, sepanjang 56 tahun kita (Sarawak)berada dalam Malaysia sejak 1963, bagi warga Tatau ia satu jangka masa yang cukup bermakna kerana banyak perkara telah berubah dari segi sosioekonomi dan populasi penduduk setempat serta infrastruktur.

Katanya, Bintulu dan Tatau sememangnya tidak pernah terpisah jauh, sering ada cerita yang dikongsi bersama.

“Penduduk yang asalnya dahulu bekerja sebagai buruh kasar dengan mengharapkan kayu-kayan dan bercucuk-tanam serta perusahaan getah, engkabang, lada dan terkini kelapa sawit sebagai mata pencarian mereka telah menjadikan Tatau sebagai hab ekonomi terpenting dalam pengeluaran produk pertanian dan industri perkayuan.

“Kini Tatau sudah berubah wajah menjadi pekan dan cukup dengan kemudahan bekalan air, elektrik, Internet dan jalan raya yang lebih baik berbanding pada zaman 1980-an.

“Namun beberapa kemudahan dan permintaan penduduk setempat serta kekurangan harus diteliti Kerajaan Negeri supaya kemajuan Tatau ini bukan hanya kepada infrastruktur tetapi seimbang dengan pembangunan sahsiah dan modal insan penduduk itu sendiri,” tambahnya.

Manakala pesara guru yang juga bekas guru besar, Yusuf Ahmad, 72, menyifatkan Bintulu buat pertama kali dipilih selaku tuan rumah Hari Sarawak sebagai detik yang menggembirakan dan yang ditunggu-tunggu penduduk Bintulu memandangkan acara terbesar pernah dianjurkan di sini adalah sambutan ‘Bintulu Centenary’ pada 1961.

“Ketika itu bandar Bintulu belum membangun cuma ada empat deret kedai kayu tetapi sambutan perayaan itu amat meriah sebab penduduk pedalaman berduyun-duyun datang hingga ada yang menumpang bermalam di rumah-rumah kampung di Bintulu,” ujarnya.

Beliau berkata, tarikan sambutan Bintulu Centenary sebab adanya penganjuran acara regata namun keadaan Bintulu kini jauh berubah dan populasinya semakin bertambah.

“Hotel, tempat penginapan dan kompleks beli-belah makin banyak dibangunkan, antaranya, Paragon Bintulu yang mana kebanyakan acara Hari Sarawak berlangsung di situ,” katanya.

“Harapan saya selaku orang Vaie moga Hari Sarawak kali ini mendapat sambutan meriah daripada semua warga Bintulu,” katanya yang menjadi guru selama 20 tahun dan kemudian bekerja di syarikat Malaysia LNG Sdn Bhd selama 18 tahun sebelum bersara.

KINI PESAT

Senada ialah Presiden Persatuan Lahanan Sarawak Bilong Siting yang mengimbau sejarah bagaimana beliau mula-mula datang ke Bintulu 30 tahun lepas dan melihat bahagian ini sebagai pekan kecil, sangat senang untuk mengenali penduduk sekitar dan hanya beberapa kenderaan di atas jalan raya, kehidupan yang begitu mudah.

“Tetapi kini Bintulu telah berubah, lebih ramai orang, bangunan banyak dibina dan keadaan bandar pula semakin membesar.

“Ringkasnya anda boleh mencari semua benda yang dimahukan di Bintulu pada masa kini,” ujarnya.

Seorang lagi pesara guru yang juga bekas guru besar, Ali Sabri Saber Ali Khan,60, menyatakan rasa syukur dan berbangga kerana julung kali perayaan Hari Sarawak diadakan di bandar Bintulu.

Katanya, tidak dinafikan ia ada signifikasi tersendiri dan sebagai warga Bintulu beliau telah melihat banyak kemajuan dan pembangunan bahkan sering berkongsi ceritanya dengan generasi baharu berkenaan perkembangan bandar ini sehingga kepada kemajuannya.

“Ini sewajarnya ditunjuk dan disedari warga Sarawak bahawa kerajaan sejak dahulu hingga kini telah berjaya merubah wajah Bintulu menjadi sebuah bandar dengan nama jolokan ‘Kota Tenaga’,” katanya yang sering diundang sebagai pengacara majlis serta turut meminati bidang seni suara.

Justeru katanya, beliau berharap melalui sambutan Hari Sarawak ini dengan pengisian pelbagai acara akan mampu menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan warganya yang memang terkenal dengan sikap toleransi dan bersatu padu.

“Semangat itu amat penting untuk terus dilestarikan demi keharmonian Bumi Kenyalang yang indah permai serta akan menjadi kekuatan kepada kemajuan dan pembangunan berterusan untuk negeri ini,” tambahnya yang pernah bertugas di sembilan sekolah di pedalaman, luar bandar dan kawasan bandar.

Beliau menyeru warga Bintulu untuk memeriahkan sambutan Hari Sarawak itu supaya menjadi kenangan terindah dan perlu membuktikan bahawa sambutan itu bukan sekadar untuk memenuhi kehendak temanya semata-mata sebaliknya perlu disertai dan diamal dengan penuh keikhlasan dengan ‘Utamakan Sarawak, Sayang Sarawak’.

Temenggung Datuk Barry Yek pula berpendapat, 22 Julai adalah tarikh yang sangat penting untuk rakyat Sarawak bukan sahaja disebabkan sambutan Hari Sarawak peringkat negeri pertama kali diadakan di luar ibu negeri malah sejarah tadbir urus negeri sebenarnya bermula di Bintulu.

“Ini amat bermakna kepada kami, walaupun Bintulu hanya bandar keempat terbesar di Sarawak, ada sebab bagi kerajaan untuk memilih perayaan di sini.

“Bintulu menjadi tempat Mesyuarat Council Negeri yang pertama di Sarawak dan Bintulu sudah pasti bandar yang paling pesat berkembang dan memberi begitu banyak sumbangan kepada negara melalui hasil daripada pembangunan perindustrian yang besar di sini,” katanya.

Beliau berkata, Bintulu mempunyai kelebihan berbanding bandar-bandar lain di tengah Sarawak, memiliki dua pelabuhan laut dalam yang besar di Sarawak dan kedua-duanya sangat penting dalam pembangunan negeri.

“Sekarang dengan pembinaan jambatan ikonik di Kuala Sungai Kemena, kawasan yang masih belum dibangunkan akan membuka lebih banyak peluang dan pelan rancangan lebih baik untuk kawasan itu pada masa hadapan.

“Apabila Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengadakan dialog perniagaan di sini, beliau pernah menyatakan Bintulu mempunyai potensi untuk menjadi ibu kota pada masa depan untuk Sarawak.

“Banyak negara di dunia, ibu kotanya beralih berkali-kali, Bintulu saya fikir tempat yang sesuai untuk itu kerana ia boleh dirancang dengan teratur,” katanya.

Beliau juga percaya sambutan Hari Sarawak pasti akan membantu mempromosikan Bintulu sebagai bandar yang membangun paling banyak industri termasuk pelancongan.

Bagi pihak rakyat, beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana memilih Bintulu sebagai tuan rumah Hari Sarawak, sekali gus menyeru warga Bintulu untuk bersama memberi sokongan penuh kepada sambutan itu dengan menjadikan Bintulu bertenaga, bersih, cantik dan harmoni di Sarawak.