Anda di sini

Pilihan salah buat Syamel tergamam di episod kelima ICSYVMY 2

Advertisement
 Harapan Syamel untuk berduet dengan seorang penyanyi sebenar musnah kerana Abid merupakan seorang penyamar bersuara sumbang.
SALAH PILIH: Harapan Syamel untuk berduet dengan seorang penyanyi sebenar musnah kerana Abid merupakan seorang penyamar bersuara sumbang.

VOKAL Syamel memang mantap, tetapi itu tidak bermakna dia ada kebolehan untuk menilai siapa yang betul-betul mempunyai bakat dalam bidang nyanyian hanya berdasarkan paras rupa.

Hadir sebagai artis jemputan di episod kelima I Can See Your Voice Malaysia 2 (ICSYVMY 2), Syamel nekad untuk berduet dengan ‘Stylist Star’ (Muhammad Abid Shamsuddin) dari awal lagi kerana dia percaya penyanyi misteri ini seo-rang penyanyi sebenar.

Syamel menjadi lebih yakin dengan pilihannya apabila Fizie Hot FM selaku penyiasat jemputan menyokong pilihannya untuk berduet dengan Abid, selepas dia mendengar rakaman suara sebenar penyanyi misteri itu.

Mengikut kata Fizie, suara Abid sangat merdu dan memang sesuai untuk berduet dengan Syamel. Selain Fizie, Wany Hasrita dan Hefny Sahad turut hadir sebagai penyiasat jemputan.

Saat yang dinanti-nantikan semua akhirnya tiba apabila Abid perlu mendedahkan suara sebenarnya. Mendendangkan lagu ‘Hidup Dalam Mati’, harapan Syamel untuk berduet dengan seorang penyanyi sebenar musnah kerana Abid merupakan seorang penyamar bersuara sumbang.

Secara automatik, Abid berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.

Di pusingan pertama, Syamel telah membuat pilihan tepat untuk menyingkirkan penyamar bersuara sumbang iaitu ‘Yah! Striker’ (Al-Luqman Haqim Ramli), walaupun ada yang sangka bahawa Luqman boleh menyanyi.

Episod kali ini lebih unik kerana terdapat dua pasangan duo misteri. Salah satu daripada pasangan ini iaitu ‘Bukan Kawan Biasa’ (Nor Akhmal Mohd Marzuki & Arqilah Ainul Yakin Draman@Ibrahim) telah disingkirkan oleh Syamel di pusingan kedua kerana persembahan lip-sync mereka tidak meyakinkan.

Apabila disuruh untuk  mendedahkan suara sebenar di pentas penentuan, Syamel terkejut dan hanya mampu mendiamkan diri kerana pasangan duet ini ternyata mempunyai bakat.

Sudah mula rasa tidak tenang dengan pilihannya, Syamel betul-betul berharap agar penyanyi misteri yang disingkirkan seterusnya iaitu ‘Bunga-Bunga Cinta’ (Mohamad Aniq Fariz Hisamrudin) adalah penyamar. Pilihan Syamel ini membuahkan hasil kerana Aniq sememangnya adalah seorang penyamar bersuara sumbang.

Namun, tuah Syamel tidak kekal lama kerana dua lagi pilihan yang dibuatnya selepas itu tidak tepat. Syamel telah menyingkirkan pasangan duo wanita ‘M2 Girls’(Liyana Syamimi Jumaah & Nur Hamizah Abu Zarin) dan ‘Aku Novelis’(Mohamad Haziq Mohd Ridzuan) kerana dia enggan mempercayai penerangan Wany Hasrita dan Hefny Sahad selaku ahli penyiasat yang telah diberi tugasan untuk mempertahankan penyanyi-penyanyi misteri ini, selepas selesai mendengar rakaman suara sebenar mereka.

ICSYVMY musim kedua dihoskan oleh Shuk Sahar dan Sean LJE manakala tugas sebagai ‘penyiasat tetap’ masih lagi digalas oleh Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul.

ICSYVMY musim kedua ini dibawakan khas oleh Oppo selaku penaja bersama. Program ini juga dimeriahkan lagi dengan artis-artis jemputan kesayangan ramai.

Jangan lupa untuk saksikan episod keenam ICSYVMY musim kedua pada jam 9.00 malam ini hanya di TV3.

ICSYVMY juga dapat disaksikan menerusi strim LIVE secara HD di tonton, YouTube TV3 Malaysia Official dan YouTube TV9 Malaysia Official.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook & Instagram di @tv3malaysia.

Advertisement