KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan seorang wanita warga asing serta merampas dadah disyaki syabu seberat 5,947.27 gram yang dianggar bernilai RM275,000 dalam satu operasi di Bandar Sierea, dekat sini kelmarin.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata dalam operasi kira-kira jam 12 tengah malam itu, suspek berusia 32 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen yang sah itu ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sebuah rumah di kawasan berkenaan.
“Ketika serbuan itu suspek berkenaan berada di sebuah bilik dan pintu rumah dan pintu pagar tidak berkunci. Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan menjumpai satu beg galas warna hijau berisi satu kotak warna kelabu. Apabila diperiksa kotak berkenaan terdapat satu bungkusan teh cina mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 507 garam.
“Pemeriksaan juga turut dilakukan terhadap sebuah kenderaan yang dipakirkan di rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan itu mendapati terdapat lima bungkusan yang turut mengandungi hablur jernih dipercayai syabu seberat 5,440.27 gram yang di sembunyikan di beberapa bahagian di dalam kenderaan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan daripada seorang lelaki warga asing di Menggatal, dan dipercayai semasa serbuan itu suspek sedang menunggu individu berkenaan.
“Kita percaya dadah ini adalah untuk pasaran tempatan dan siasatan lanjut sedang dilakukan untuk mengesan pembekal dadah berkenaan,” tambahnya.
Zaini berkata suspek berkenaan kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 29 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — Bernama