Anda di sini

Kolaborasi industri-universiti bantu perkembangan ekonomi

Advertisement
PARA peserta Icobs merakamkan kenangan bersama Jenifer (duduk, dua kiri) dan Raman (duduk, dua kanan).
PARA peserta Icobs merakamkan kenangan bersama Jenifer (duduk, dua kiri) dan Raman (duduk, dua kanan).

KOTA KINABALU: Kolaborasi industri-universiti penting dan diperlukan dalam membantu melonjakkan perkembangan ekonomi.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kerjasama industri-universiti mampu membangunkan usaha dalam mengkomersilkan ilmu pengetahuan.

Katanya, potensi yang ada pada kolaborasi kedua-dua pihak dapat dilihat menerusi program pendidikan yang berterusan, usaha mendapatkan paten, teknologi pemindahan pejabat, taman-taman sains serta inkubator.

"Kolaborasi industri-universiti dilihat sebagai perkara utama oleh ramai sarjana untuk lebih berdaya saing.

"Kerjasama seperti ini membawa banyak manfaat bukan sahaja kepada pihak indsutri, malah universiti sendiri dapat memperoleh dana tambahan atau akses kepada peralatan perindustrian," katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis perasmian '1st International Conference on Business Studies' (Icobs) anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini pada Rabu. Teks ucapan beliau disampaikan oleh pembantunya Jenifer Lasimbang.

Yusof berkata, kolaborasi industri-universiti adalah penting khususnya untuk dana universiti.

Menurutnya, dana dari organisasi antarabangsa dan perusahaan perniagaan untuk penyelidikan dan pembangunan di universiti adalah sumber pendapatan yang penting.

Sementara itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin berkata, Icobs bertujuan mengumpulkan pengamal perniagaan dan ahli penyelidik akademik dari seuluruh dunia bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi dunia perniagaan sekarang.

Sehubungan itu, beliau berharap persidangan berkenaan akan membawa kepada pertukaran idea yang positif, jaringan serta perhubungan yang berterusan.

Kamarudin diwakili oleh Dekan FPEP UMS Dr Raman Noordin.

Seramai 78 orang dari 10 negara menyertai persidangan Icobs termasuklah Malaysia 62 peserta, dua peserta masing-masing dari Pakistan, India, Indonesia dan China, empat peserta mewakili Nigeria dan seorang wakil masing-masing dari negara Oman, Sudan, New Zealand dan Mexico.

  • oleh
  • Advertisement