Anda di sini

Inovasi Cikgu Sirhajwan membanggakan

Advertisement

KOTA KINABALU: Kejayaan dalam memenangi pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa membolehkan guru di Kolej Vokasional Keningau, Sirhajwan Idek menjadi rakyat Malaysia pertama menerima Anugerah Hubungan Pendidikan Australia sempena persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Anugerah itu diberikan berdasarkan inovasi yang beliau hasilkan bertajuk ‘Think Tales’ yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada majlis makan malam persidangan itu.

Sirhajwan menerima geran berjumlah AU$10,000 (RM28,742) untuk melaksanakan projek itu yang diilhamkan daripada daerah asal-usulnya membesar di Kota Belud.

Projek tersebut memfokuskan kepada penggunaan cerita kaum di Sabah seperti Bajau, Dusun dan Murut dalam pengajaran bahasa Inggeris yang meliputi pengajaran di dalam kelas, aktiviti kem bahasa Inggeris, bengkel dan perkongsian untuk guru serta kajian dan terbitan.

Guru berbangsa Bajau itu pernah mengikuti pertandingan yang sama pada tahun 2015 dan berjaya berada dalam kedudukan lima terbaik.

Sirhajwan berkata tujuan projek itu adalah untuk meningkatkan keyakinan dan kemahiran para pelajar sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris melalui cerita legenda dan mitos yang berkaitan dengan kumpulan etnik, bahasa dan tradisi di Sabah.

Beliau berkata antara cerita kaum Bajau yang pernah ditulisnya ialah ‘Bele Bele’ (orang orang), ‘Kanang and the Serimpak’ serta ‘Tekok Parai’ (kepala padi).

“Cerita yang pernah ditulis dan dikongsikan oleh pelajar saya hasil daripada projek ini ialah ‘Dang Insum’, ‘The Legend of Gunsoloi’, ‘The Origin of Balan Balan’, ‘Tombiruo’, ‘Mondowoi’ dan ‘The Misasawo and Hinava’,” katanya kepada Bernama, semalam.

Katanya projek itu bukan sahaja berjaya meningkatkan minat dan kemahiran pelajar dalam bahasa Inggeris, malah ia membuatkan mereka rasa bangga dengan asal-usul mereka dan meningkatkan kefahaman mereka terhadap budaya pelbagai kaum di Sabah.

Sirhajwan berkata beliau bertekad untuk memperkembangkan lagi projek ini bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar khususnya di kawasan luar bandar. — Bernama

Advertisement