Anda di sini

‘Ayam Penyet’ menu popular di Restoran DKC

Advertisement
__alt__

‘SEKALI rasa, pasti  nak lagi,’ itu pengalaman pelanggan setia Restoran Dapur Kami Cafe (DKC) di Limbang selepas menikmati keenakan menu popular yang menambat selera mereka iaitu ‘Ayam Penyet’.

Usaha usahawan muda Bibi Aishah Shadan, 34, untuk mempopularkan menu ayam penyet air tangan suami Zurizan Ramlie 38, empat tahun lalu nyata berbaloi apabila menu itu menjadi pilihan utama pelanggan yang datang ke kedainya di Batu Biah di Limbang, setiap hari.

Jelas Bibi, idea untuk memperkenalkan menu Ayam Penyet ilham daripada suaminya yang pakar memasak, sebelum diolah dan dikomersialkan sehingga menambah hati pelanggan yang datang.

Malah ada pelanggan yang pulang kecewa apabila tidak sempat menikmati menu itu kerana kehabisan dipesan untuk dimakan atau dibungkus pelanggan pada hari tersebut.

Bibi yang mengusahakan restoran ini bersama suaminya Zurizan sejak 2016 hingga kini berkata, keaslian rasa hidangan itu sentiasa dikekalkan.

“Saya akan pastikan cili dan bahan mentah lain yang digunakan setiap hari segar.

“Begitu juga dengan sambal, semuanya baharu dan segar apabila dihidangkan di meja pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo baru-baru ini.

Selain Ayam Penyet asli, beliau turut menampilkan lima lagi jenis menu termasuk ‘Ayam Penyet Berapi’, ‘Ayam Penyet Leleh’, ‘Ayam Penyet Creamy’, ‘Ayam Penyet Rendang’ dan ‘Ayam Penyet Pepenero’ dengan harga berpatutan.

Ayam Penyet katanya, sudah menjadi juadah istimewa di kedainya hingga menyebabkan ramai pelanggan bukan saja dari Limbang malah dari luar Limbang akan singgah ke kedainya untuk melepas gian merasai keenakannya.

ADA KELAINAN

__alt__

Jelasnya, meskipun beroperasi sejak empat tahun lalu Bibi tidak duduk diam sebaliknya sentiasa berusaha menampilkan kelainan menu untuk kepuasan pelanggannya.

Beliau berkata, aspek kelembutan ayam dan cara merebus ayam lebih lama itu dititikberatkan demi mengekalkan rasa dan keaslian Ayam Penyet.

“Saya juga suka kelainan dengan menampilkan Ayam Penyet yang lebih rangup dan disukai pelanggan,” katanya lagi.

Bibi berkata, setakat ini beliau mempunyai pelanggan dari pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, Bisaya dan kaum-kaum lain yang datang dari pelbagai peringkat umur.

Malah jelasnya, ramai pelanggan dari luar Limbang yang datang dari Miri, Lawas, Sabah serta pelancong luar negara yang akan singgah menikmati keenakan Ayam Penyet di restorannya.

Beliau berkata, strategi pemasaran yang dilakukan setiap tiga bulan sekali berjaya memperkenalkan nama DKC dan stesen Ayam Penyetnya.

“Untuk promosi, setiap tiga bulan, saya akan menggantung kain rentang (sepanduk) DKC di beberapa kawasan di bandar ini khususnya untuk memperkenalkan enam jenis Ayam Penyet.

“Nyata kaedah pemasaran seperti itu membuahkan hasil apabila ramai pelanggan yang berulang datang untuk menikmati keenakkan Ayam Penyet,” ujarnya.

Bagi tujuan itu jelasnya, beliau membelanjakan sekitar RM2,000 untuk tujuan promosi dan pemasaran sehingga tidak menang tangan setiap kali diserbu pelanggan di kedainya.

Bibi berkata, beliau bersyukur kerana dibantu suami dan 10 staf lain yang bertungkus-lumus memastikan pelanggan-pelanggan berpuas hati dengan menu dan perkhidmatan yang disediakan.

Beliau berkata, menjadi usahawan pada usia muda memang berdepan cabaran dan dugaan,namun berkat sokongan dan dorongan suami  dan keluarga di sisi semua itu dapat diharungi.

BERANIKAN DIRI

Malah sebelum restoran DKC menjadi popular, wanita ini sudah mempunyai pengalaman luas dalam bisnes makanan secara kecil-kecilan.

Sebelum ini beliau dan suami mengusahakan perniagaan ‘nasi katok’ di tepi jalan Batu Biah semasa baharu berusia 23 tahun pada 2007.

Menggunakan nama Babyzz Homemade pada mulanya, beliau hanya mengambil tempahan dari rumah, penghantaran dan berjual di tepi jalan.

“Pada 2016, suami memberi idea untuk kami merluaskan lagi perniagaan dengan membuka kedai DKC walaupun hanya menampilkan empat hingga lima menu dengan bantuan dua kakitangan.

“Suami juga sanggup berhenti kerja sebagai anggota polis untuk membantu mengembangkan restoran kami setahun kemudian,” katanya.

Disebabkan minat, perasaan bimbang dan kurang yakin ditolak ke tepi.

Bibi kemudian memberanikan diri membuka restoran di Batu Biah dengan membuat pinjaman sebanyak RM20,000.

Berbekalkan minat memasak, beliau bersyukur apabila menu Ayam Penyet restoran DKC yang diusahakannya mendapat sambutan menggalakkan termasuk mengumpul pelanggan setia dalam tempoh singkat.

“Kepuasan pelanggan adalah satu kegembiraan bagi kami, pelanggan yang datang dam memuji keenakan Ayam Penyet memberi kami satu semangat untuk terus menampilkan kelainan,” katanya.

Beliau turut merancang untuk menambah beberapa jenis sambal iaitu ‘berapi’ dan biasa, selain merancang untuk membuka premis baharu serta menambah cawangan DKC di Lawas berdasarkan sambutan luar biasa pelanggan di daerah ini.

Mereka yang ingin membuat tempahan boleh menghubungi Bibi di talian 016-5849746.

  • oleh
  • Advertisement