Anda di sini

14 negara berentap rebut gelaran Mister Teen Globe International 2019

Advertisement
PESERTA Pertandingan Mister Teen Globe International 2019 yang memakai selempang negara masing-masing merakam gambar kenangan bersama penaja dan pihak penganjur selepas sidang media berkenaan.
PESERTA Pertandingan Mister Teen Globe International 2019 yang memakai selempang negara masing-masing merakam gambar kenangan bersama penaja dan pihak penganjur selepas sidang media berkenaan.

KOTA KINABALU: Sebanyak 14 negara berentap merebut gelaran Mister Teen Globe International 2019 yang akan membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM60,000.

Hadiah keseluruhan merangkumi biasiswa dari Kolej Kiara, barangan kemas, produk penjagaan kecantikan, wang tunai dan beberapa hadiah lain akan direbut oleh peserta yang telah dipilih oleh Organisasi Teen Globe International bagi negara masing-masing.

Antara negara terlibat bagi pertandingan itu adalah India, Indonesia, Myanmar, Japan, Filipina, Nepal, Sri Lanka, Borneo termasuk wakil dari Malaysia sendiri.

Pengarah Kebangsaan Pertandingan Mister Teen Globe International 2019 Sofea Jane Kastum berkata, selain gelaran utama, 15 gelaran sampingan turut ditawarkan kepada semua peserta yang berumur lingkungan 18 hingga 22 tahun itu.

"Pemenang gelaran sampingan seperti Mister Popular Facebook, Mister Best Kostum dan lain-lain juga akan menerima hadiah berupa wang tunai RM500, termasuk pakej percutian.

"Bagaimanapun, juri akan melihat keseluruhan aspek yang ada pada setiap pemenangan utama dan gelaran sampingan, terutama dari aspek pertuturan dan misi mereka sertai pertandingan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Mister Teen Globe International 2019 serta sesi penyampaian selempang dan menandatangani perjanjian kepada peserta.

Turut berlangsung pada majlis itu adalah penyampaian penghargaan kepada kesemua penaja pertandingan berkenaan.

Sofea berkata, minggu pertandingan yang dianjurkan antara Syarikat SJ Intertainment dan Man Of The Globe Charities Organization itu sudah berlangsung bermula 23 Julai lepas.

Sementara, acara kemuncak pada 28 Julai ini akan diadakan di Shangrila Tanjung Aru Resort jam 6 petang dengan jualan tiket berharga RM150 hingga RM200 kepada orang ramai.

Katanya, minggu saringan pula akan berlangsung pada hari ini (25 Julai) di Resort Seaside Travellers Inn di Kinarut dengan jualan tiket berharga RM70.

"Seterusnya, 26 Julai pula, kita akan bawa peserta membuat kerja amal seperti membantu kanak-kanak tidak bersekolah di Tuaran dan membersihkan kandang serta merawat kucing liar yang terbiar.

"Pada 27 Julai, kita akan beri peluang kepada peserta membuat latihan bagi persiapan mereka pada pertandingan akhir 28 Julai nanti," katanya.

Ditanya mengenai objektif program, Sofea berkata ia bagi memupuk kesedaran kepentingan alam sekitar dalam merancakkan eko pelancongan di negeri ini.

Katanya, ia bersesuaian dengan keistimewaan Sabah iaitu keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya masyarakat tempatan yang hidup aman damai di bawah satu bumbung.

"Kita juga menganjurkan pertandingan ini bagi memberi peluang kepada peserta mengetahui keistimewaan di Sabah untuk dipromosikan di negara masing-masing yang bertepatan dengan tujuan acara ini diadakan.

"Bahkan, pemenang pula akan bekerjasama dengan kami selama satu tahun untuk ketahui pasal eko pelancongan di negara ini, seterusnya akan dibimbing untuk mara ke peringkat seterusnya nanti," katanya.

  • oleh
  • Advertisement