Anda di sini

Wanita warga Filipina ditahan bersama 5.947gm syabu

Advertisement
ZAINI (dua kiri) menunjukkan rampasan syabu pada sidang media di IPK pada Rabu.
ZAINI (dua kiri) menunjukkan rampasan syabu pada sidang media di IPK pada Rabu.

KOTA KINABALU: Seorang wanita warga Filipina berjaya ditahan bersama 5,947 gram syabu dalam satu serbuan di sebuah taman perumahan di Manggatal pada Rabu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata serbuan pada jam 12.12 tengah malam itu dilakukan di rumah suspek yang tidak berkunci.

“Semasa serbuan, suspek berumur 32 tahun hanya berada seorang diri di rumah dan hasil penggeledahan berjaya menemukan beg galas di bahagian dapur.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam beg itu menemukan satu bungkusan teh cina dan selepas dibuka terdapat satu bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu seberat 507 gram di dalamnya,” katanya.

Zaini berkata pasukan serbuan kemudiannya menemukan kunci kereta yang disimpan di dalam kotak simpanan kunci rumah suspek.

“Apabila dibuka polis berjaya menemukan lima lagi bungkusan lain di dalam kereta itu yang disimpan di tempat duduk penumpang hadapan, tempat duduk pemandu serta bawah pelapik tayar bonet belakang.

“Semasa dibuka kesemua bungkusan mengandungi hablur jernih dipercayai dadah jenis syabu dengan berat keseluruhan mencecah 5,440.27 gram.

“Kesemua dadah yang dirampas seberat 5,947.27 dengan anggaran nilai RM275,000 pada harga pasaran tempatan semasa,” katanya.

Zaini berkata suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu dipercayai menetap di Sandakan dan tinggal di Manggatal bagi menjalankan kegiatan pengedaran dadah selain berperanan sebagai keldai dadah bagi sindiket terbabit.

“Suspek turut mengakui memperolehi bekalan dadah yang dibawa masuk melalui pengangkutan darat ini daripada seorang lelaki warga asing di Manggatal sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

“Selalunya, sindiket dadah hanya akan memasarkan kira-kira 30 peratus daripada dadah yang diseludup ke dalam negara manakala selebih 70 peratus akan diedarkan ke luar negara,” katanya.

Tambahnya suspek juga dipercayai sedang menunggu seseorang berdasarkan keadaan rumah suspek yang tidak berkunci semasa serbuan di rumah berkenaan.

Beliau juga berkata pihak polis kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pembekal dadah terbabit.

  • oleh
  • Advertisement