Anda di sini

UMS adakan bengkel Pendidikan Inklusif bersama UNESCO 

Advertisement
KETUA Perpustakaan UMS Zawawi Tiyunin (tengah) menyampaikan cendera kenangan kepada Joe (kiri), turut kelihatan Fong.
KETUA Perpustakaan UMS Zawawi Tiyunin (tengah) menyampaikan cendera kenangan kepada Joe (kiri), turut kelihatan Fong.

KOTA KINABALU: Malaysia menjadi negara pertama yang memberikan sokongan kepada pembangunan sumber pendidikan secara terbuka dan inklusif.

Dalam satu bengkel yang dilancarkan mengenai polisi dan dasar pembangunan pendidikan inklusif bersama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), penganjurnya Prof Dr Fong Soon Fook menjelaskan tujuan bengkel adalah memastikan wujudnya kualiti dalam pendidikan. 

Katanya, ia juga bagi mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjelang 2030.

"SDG mengetengahkan perlunya mewujudkan satu pembangunan inklusif, pendidikan berkualiti dan memberi peluang pendidikan kepada semua masyarakat sepanjang hayat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Fong yang juga pengarah Pusat E-learning Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, penganjuran bengkel berkenaan turut mendapat sokongan daripada Yayasan William dan Flora Hewlett. 

Sementara itu, Pakar Program UNESCO Joe Hironaka berkata, Malaysia adalah negara pertama di dunia ini yang membangunkan draf untuk polisi keterbukaan dalam pendidikan.

Katanya, hampir setengah juta rakyat dalam negara ini didaftarkan sebagai golongan orang kelainan upaya (OKU). Mereka berhadapan cabaran seperti penglihatan, pertuturan, fizikal dan pelbagai lagi kekurangan menyebabkan mereka tidak mampu menjalankan kehidupan normal. 

"Pendidikan inklusif ini bertujuan mengatasi limitasi yang dihadapi golongan OKU dengan memastikan institusi pengajian tinggi mengadakan kerjasama dengan jabatan kebajikan serta badan bukan kerajaan yang lain.

"Ia bagi memastikan semua bentuk atau bahan pendidikan mampu diperolehi secara percuma kepada golongan berkenaan dalam format yang boleh digunakan mereka," katanya. 

Sebagai contoh, katanya, mereka yang mempunyai masalah penglihatan boleh memperolehi bahan pendidikan itu dalam bentuk penterjemahan audio dan braille. 

Sementara mereka yang pekak pula memerlukan pendidikan dalam bentuk visual berserta kapsyen sebagai teks dalam usaha mempelajarinya secara atas talian. 

"Pembangunan semula kandungan pendidikan dalam format khas yang mampu diakses kepada semua masyarakat adalah satu cabaran besar kepada warga pendidik," katanya.

RAKAMAN gambar kenangan para peserta bengkel.
RAKAMAN gambar kenangan para peserta bengkel.

Menurut Joe, polisi dalam pendidikan inklusif akan memberikan impak ketara kepada ketersediaan sumber pendidikan pelajar kurang upaya. 

Katanya, keadaan itu juga memerlukan institusi pengajian tinggi untuk memperluaskan lagi skop pembelajaran dan bahan pendidikan kepada golongan baharu berkenaan. 

Jelasnya, ia akan memberikan peluang pendidikan kepada semua golongan masyarakat dalam negara ini ke peringkat pembelajaran lebih tinggi seterusnya melahirkan masyarakat yang benar-benar inklusif. 

Bengkel itu itu dihadiri oleh Dr Ferdinand Pitagan mewakili UNESCO Filipina yang menyediakan pandangan untuk pembangunan pendidikan itu di negara terbabit. 

  • oleh
  • Advertisement