Anda di sini

Tiada penjualan ‘Ghost Smoke’ dikesan di Miri: KPDNHEP

Advertisement
 Beberapa pegawai penguat kuasa KPDNHEP Miri melakukan pemeriksaan berhubung penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ di sebuah pasar raya di Miri, semalam.
TINDAKAN TEGAS: Beberapa pegawai penguat kuasa KPDNHEP Miri melakukan pemeriksaan berhubung penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ di sebuah pasar raya di Miri, semalam.

MIRI: Tiada sebarang kegiatan penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ dikesan di Miri setakat ini.

Perkara itu disahkan Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri Joe Azmi Jamil.

Katanya, sebaik menerima arahan rasmi berhubung perkara itu semalam, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Miri turun padang untuk melakukan pemeriksaan di beberapa premis di sekitar pusat bandar raya di sini.

“Namun hasil pemeriksaan yang dilakukan di enam lokasi termasuk beberapa pasar raya besar sebentar tadi mendapati tiada sebarang kegiatan penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ dikesan di sini setakat ini.

“Meskipun demikian, kita akan terus melakukan pemeriksaan di semua premis pembekal gula-gula termasuk penjual runcit untuk memastikan gula-gula berkenaan tidak dipasarkan di Miri,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo pagi semalam.

Sehubungan itu, Joe Azmi menasihati semua pemilik premis agar tidak menjual produk berkenaan dan tidak menerima stok atau bekalan daripada pihak pembekal.

Katanya, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Terdahulu menurut beliau, sejak berita tentang gula-gula ‘Ghost Smoke’ tular di media sosial, pihaknya turut melakukan pemeriksaan rambang di beberapa premis di sekitar pusat bandar dan Permyjaya namun tiada sebarang kegiatan penjualan produk berkenaan dikesan.

“Semalam pun (kelmarin) semasa pegawai penguat kuasa kita melakukan pemeriksaan rutin di kedai-kedai di sekitar bandar raya Miri dan Permyjaya, kita turut melakukan tinjauan rambang berhubung perkara berkenaan,” ujarnya.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mahu penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dihentikan segera.

Pada masa sama, menteri terbabit meminta para ibu bapa meningkatkan pemantauan ke atas anak masing-masing agar tidak terjebak dengan kegiatan yang tidak sihat.

Baru-baru ini, media melaporkan mengenai kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula berkenaan yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Advertisement