Anda di sini

Tiada gula-gula ‘Ghost Smoke’ dijual di Kuching

Advertisement
 Produk ‘Ghost Smoke’ yang terdapat di Semenanjung Malaysia.
LARANGAN: Produk ‘Ghost Smoke’ yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

KUCHING: Golongan ibu bapa masih mampu menarik nafas lega kerana gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang viral kerana dikatakan mengeluarkan asap apabila disedut sukar didapati di bandar raya.

‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seolah-olah rokok itu mula menjadi kegemaran kanak-kanak sekolah di Semenanjung Malaysia.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati apa yang ada dijual di sebuah premis di Jalan Tawi Sli merupakan produk tiruan hampir menyamai ‘Ghost Smoke’ berjenama ‘Chost Somke’.

Pasar borong berkenaan menjual sekotak ‘Chost Somke’ yang mempunyai 24 paket serbuk gula berperisa lemon, strawberi dan epal hijau pada harga RM8.70.

Seorang guru di sebuah sekolah awam di sini, Jessy Solomon, 34, berkata gula-gula tersebut belum lagi dikenali dan dirasai oleh pelajar di sekolah tempat beliau mengajar.

Bagaimanapun, pengam-bilan ‘Ghost Smoke’ katanya seperti mendedah dan mendorong kanak-kanak berusia muda untuk mencuba rokok atau vape kemudian hari.

“Setakat ini, saya belum pernah lagi nampak ia dijual di mana-mana, rasanya ibu bapa tidak tahu jika anak-anak mereka ada membeli gula-gula berkenaan tapi rasanya belum ada lagi di pasaran,” katanya.

 Produk menyamai ‘Ghost Smoke’, ‘Chost Somke’, namun tidak mengeluarkan asap dijual di sebuah pasar borong di Jalan Tawi Sli, Kuching.
SEAKAN SAMA: Produk menyamai ‘Ghost Smoke’, ‘Chost Somke’, namun tidak mengeluarkan asap dijual di sebuah pasar borong di Jalan Tawi Sli, Kuching.

Beliau bagaimanapun, menyarankan agar ibu bapa mengawasi wang perbelanjaan harian yang diberikan kepada anak mereka dan sentiasa bertanya serta mengambil tahu apa yang dibeli anak mereka setiap hari sama ada di kedai atau kantin sekolah.

Ujarnya, tidak diketahui kandungan bahan kimia yang terkandung dalam gula-gula ‘Ghost Smoke’ dan berkemungkinan berupaya memudarat dan membahayakan kesihatan kanak-kanak sekolah pada usia yang sangat muda itu.

Sementara itu, Dayang Nor Azra Abang Dzafri, 20, berpendapat jika benar gula-gula ‘Ghost Smoke’ mudah didapati di sini, pihak sekolah perlu mengambil tindakan tegas bagi mengawal penjualan dan pengambilannya di kawasan sekolah.

“Pihak sekolah perlu mengadakan pemeriksaan mengejut untuk mengawal para pelajar yang seolah-olah meniru lagak seorang perokok dan menasihati pihak kantin sekolah agar tidak menjualnya di kawasan sekolah,” tambahnya.

Azra juga percaya kerajaan mempunyai cara bagi mengawal penjualan gula-gula berkenaan sekiranya ia membahayakan kesihatan terutama bagi golongan kanak-kanak.

Pada masa yang sama, Fauziah Rapaie, 41,  meminta kerajaan dan kementerian pendidikan melaksanakan undang-undang yang mela-rang sekerasnya penjualan gula-gula berkenaan di dalam dan luar kawasan sekolah.

Beliau berkata kanak-kanak yang masih muda mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan ibu bapa perlu mengehadkan pemberian wang saku anak-anak.

Fauziah pada masa sama menyeru penjaja atau penjual makanan di kedai runcit dan kantin sekolah lebih berhati-hati dalam pemilihan barang jualan yang dikhususkan kepada golongan kanak-kanak.

Sebelum itu, BERNAMA melaporkan bahawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula ‘Ghost Smoke’ dihentikan segera.

Katanya perkara itu dikhuatiri akan menjadi pe-nyakit masyarakat yang me-nular dalam kalangan kanak-kanak dari usia muda.

Dr Wan Azizah juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.

“Merokok dulu, kemudian dadah dan syabu,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement