Anda di sini

Taman Budaya dibuka semula jika bebas daripada anjing terbiar

Advertisement
Abdul Wahap (kiri) bersama Ahli Majlis DBKU Wee Hong Seng ketika ditemu bual pemberita selepas menghadiri majlis perasmian APOC 13 di BCCK, hari ini.

KUCHING: Taman Budaya akan terus ditutup kepada orang ramai sehingga semua anjing terbiar di kawasan itu ditangkap oleh pihak berkuasa berwajib.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata operasi bagi menangkap haiwan berkenaan di taman rekreasi itu diadakan bermula hari ini.

Operasi dilancarkan selepas sekurang-kurangnya seorang individu dilaporkan digigit anjing terbiar di taman berkenaan ketika bersenam.

Tambahnya DBKU akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dalam operasi itu.

"Kita melancarkan operasi menangkap anjing-anjing terbiar ini, lima ekor semenangnya dikenal pasti. Jika kesemuanya gagal ditangkap dalam operasi hari ini, kita akan tutup Taman Budaya sehingga kesemuanya berjaya ditutup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Orkid Asia Pasifik (APOC) Ke-13, 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Abdul Wahab mendedahkan, sebelum ini DBKU telah memasang perangkap bagi menangkap anjing-anjing berkenaan tetapi tidak berjaya.

Menurutnya DBKU tidak menggunakan senapang trankuilizer kerana kehadiran orang ramai di taman itu untuk bersenam.

"Kita percaya ada pihak yang melepaskan anjing-anjing ini yang memasuki perangkap kita kerana umpan kita letak habis dimakan tetapi sangkar kosong.

"Setiap petang ada seorang wanita sering datang ke taman ini memberi makan kepada anjing-anjing terbiar ini. Kita sudah beberapa kali memberi nasihat agar beliau menghentikan perbuatan itu tetapi tetap ingkar," katanya.

Beliau percaya anjing-anjing berkenaan menjadi garang dengan kehadiran beberapa anjing baharu di taman itu.

"Sebelum ini anjing-anjing di situ tidak menggangu orang ramai yang bersenam tetapi apabila berasa wilayahnya tergugat dengan kehadiran beberapa ekor anjing lain, mereka bertukar garang," jelasnya.

Abdul Wahap turut menasihati orang ramai khususnya 'pencinta haiwan' agar mengangkat anjing-anjing terbiar sebagai haiwan peliharaan bukan diberi makan selepas dibiar berkeliaran.

Selasa , seorang lelaki dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapat rawatan selepas digigit anjing terbiat ketika sedang bersenam.

Menurut sumber Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, anjing berkenaan ditangkap pihak berkuasa tempatan dan ujian sedang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi menentukan jika ia positif rabies.

Meskipun Jabatan Kesihatan sebelum ini hanya mengesahkan bahawa hanya seorang invidu yang berjoging digigit, tetapi terdapat dakwaan menerusi media sosial ada lagi yang lain turut diserang oleh anjing pada Selasa.

Setakat ini 18 maut disebabkan rabies dan 63 kawasan telah diisythirkan sebagai kawasan rabies sejak kes pertama dikesan pada Julai 2017.

  • oleh
  • Advertisement