
KOTA MARUDU: SMK Kota Marudu yang menjejak usia separuh abad bukan lagi sekadar sekolah biasa tetapi sudah menjadi sekolah legenda atas kejayaan mencipta sejarah sebagai sekolah paling tua dan berjaya melahirkan ramai pemimpin.
Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata terdapat sekolah yang sudah dimamah usia namun terus menjadi peneraju modal insan dan pelopor kemenjadaian murid walau berstatus sekolah luar bandar.
“Ini terbukti dengan momentum SMK Kota Marudu yang berjaya membentuk modal insan yang menyerlah dalam pelbagai sektor sehingga mendapat jolokan ‘The Legend’ kerana mampu bersaing dalam pelbagai arena dan bidang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Terbuka SMK Kota Marudu Jumaat lalu. Teks ucapan beliau disampaikan pembantunya Mohamad Mohammarin.
Menurutnya sekolah dan guru merupakan dua elemen penting bagi menghasilkan pelajar berketrampilan baik di dalam mahu pun di luar kelas.
“Tuntutan pendidikan dewasa ini ialah memberi pelajar kemampuan mengadaptasi pelbagai maklumat yang diperoleh secara positif berkaitan pelbagai perubahan di persekitaran mereka,” katanya.
Yusof menegaskan SMK Kota Marudu umpama gedung ilmuan yang terus menyumbang penghasilan sumber tenaga berkualiti tinggi dan ia bersesuaian dengan tema majlis ‘Amal KBAT Pasti Hebat’. KBAT ialah akronim pembelajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.
Beliau yakin kalangan pelajar dilatih untuk mengamalkan kemahiran berfikir aras tinggi dalam menyelesaikan masalah ke arah melahirkan sumber manusia yang mampu bersaing di peringkat global.
Ketika ditemui, Mohammad yang juga Adun Banggi melahirkan rasa teruja dengan apa yang telah ditunjukkan oleh para pelajar selepas melawat pameran dan kelas sains, matematik dan ekonomi rumah tangga.
Katanya, walaupun Sabah agak jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Semenanjung namun kemudahan yang ada dapat dimanfaatkan untuk melonjakkan pencapaian yang membanggakan.
“Kemudahan yang sederhana bukan penghalang semangat belajar untuk merai kejayaan dan kecemerlangan kerana pada waktu yang sama Kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengemukakan permintaan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan peruntukan,” katanya.
Terdahulu, Pengetua SMK Kota Marudu Faridah Raimin berkata sekolah itu telah dipilih Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai sekolah membudayakan KBAT.
Pelbagai aktiviti diadakan seperti pendidikan sivik dan kewarganegaraan, Hari PIBG, Pameran Kerjaya, Kerja Kreatif, Sains, Matematik, Seni Visual dan pameran agensi kerajaan.
Menurut Faridah kerjasama dan komitmen kalangan ahli jawatankuasa pelaksana, PIBG dan ibu bapa telah menjadikan program itu berjaya.
“Namun kami amat mengalu-alukan agar bekas pelajar dapat mengaktifkan semula persatuan alumni sekolah itu untuk menyemarakkan lagi pencapaian sekolah,” katanya.
Antara alumni sekolah itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan, mantan Ahli Perlimen Datuk George Sangkin, mantan Ahli Dewan Negara Datuk Maijol Mahap dan ramai lagi bekas pelajar sekolah itu yang kini menjagkau usia 51 tahun.
Turut hadir, Ketua Bahagian Warisan Kota Marudu Majamis Timbuong, George, Maijol, Pegawai Pendidikan Daerah Datu Akdan Datu Basran, guru-guru dan ibu bapa.