Anda di sini

Selangor tekad kekalkan penguasaan pasaran dalam industri aeroangkasa tempatan

Advertisement
 Regional Powerhouse’ di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
BERI PENERANGAN: Teng (tiga kanan) bercakap semasa persidangan ‘Selangor: Regional Powerhouse’ di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Selangor yakin dapat meningkatkan penguasaan pasaran dalam industri aeroangkasa tempatan kepada 70 peratus pada 2020 daripada 62 peratus yang dicatatkan pada masa ini.

Keyakinan itu berasaskan pertambahan permintaan terhadap komponen aeroangkasa di peringkat dunia selain langkah memberi nafas baharu kepada Subang Skypark.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana negeri Datuk Teng Chang Khim berkata perkembangan itu akan menyumbang secara positif kepada ekonomi Selangor.

“Pembangunan industri aeroangkasa juga akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan berbanding yang berintensifkan buruh,” katanya di luar persidangan ‘Selangor: Regional Powerhouse’ di sini, semalam.

Selangor mempunyai kira-kira 200 syarikat berkaitan aeroangkasa dan menetapkan tiga kawasan khusus untuk sektor itu iaitu Serendah, Subang dan Sepang.

Teng berkata Selangor sentiasa berusaha mencari pelaburan langsung asing (FDI) yang dipacu teknologi tinggi dan berjangka panjang.

“Kami mempunyai pelan tindakan yang menumpukan beberapa sektor termasuk pembuatan, aeroangkasa dan lain-lain. Berasaskan pelan ini, kami mengetengahkan Selangor sebagai destinasi bagi tujuan menjalankan perniagaan memandangkan negeri ini memiliki ekosistem lengkap,” katanya.

Selangor yakin namun berhati-hati untuk mencatatkan FDI bernilai RM10 bilion tahun ini.

Beliau berkata, negeri itu turut menumpukan pemantapan tenaga kerja dari segi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional untuk memastikan lepasan pengajian boleh mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan bidang mereka.

“Kami berusaha yang terbaik untuk mengurangkan ketidakpadanan dalam industri (antara kehendak industri dan bidang pengajian) memandangkan kita kini beralih kepada pembuatan pintar, Selangor akan lebih mengutamakan aspek memperkasakan tenaga kerja ke arah menjadi pekerja berkemahiran tinggi,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata nilai eksport aeroangkasa Malaysia dijangka meningkat 15 peratus tahun ini daripada RM8.48 bilion yang dicatatkan tahun lepas, didorong pertambahan tempahan. — Bernama

Advertisement