Anda di sini

SCCC perlu terus bantu Sabah tarik pelabur dari China

Advertisement
JUHAR (sembilan kiri), Norlidah (sembilan kanan), Junz (lapan kiri), Christina (enam kanan), Frankie (tujuh kiri), Liang (lapan kanan) bersama tetamu kehormat lain dan ahli jawatankuasa SCCC merakamkan gambar kenangan.
JUHAR (sembilan kiri), Norlidah (sembilan kanan), Junz (lapan kiri), Christina (enam kanan), Frankie (tujuh kiri), Liang (lapan kanan) bersama tetamu kehormat lain dan ahli jawatankuasa SCCC merakamkan gambar kenangan.

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Sabah-China (SCCC) disarankan untuk terus memainkan peranan besar dalam membantu negeri ini menarik pelaburan khususnya dari negara tembok besar itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, inisiatif Satu Jajaran, Satu Laluan atau 'One Belt, One Road' (OBOR) oleh kerajaan China dilihat mampu memberikan manfaat besar kepada negara ini khususnya Sabah.

"Saya yakin OBOR mampu memberikan impak positif kepada wilayah ini dan berharap SCCC dapat menganjurkan lebih banyak program yang boleh menyediakan pandangan serta input mengenai OBOR, seterusnya kita mendapat manfaat daripada inisiatif itu.

"Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyokong penuh usaha itu, China pula sudah menjadi rakan baik kepada Malaysia dan Sabah sejak sekian lama," katanya ketika Majlis Upacara Mengangkat Sumpah Jawatankuasa Baharu SCCC kali pertama di sini pada malam Selasa.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong.

Shafie berkata, kini jumlah perdagangan di antara China dan Malaysia sudah meningkat sebanyak 13 peratus iaitu RM433 bilion pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya berjumlah RM392 bilion.

Katanya, Kerajaan Sabah akan terus menawarkan peluang perniagaan kepada pelabur khususnya dari China.

"Saya ingin menyarankan agar SCCC memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan negeri menarik lebih banyak pelaburan dari China bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Sabah.

"Apa-apa cadangan pelaburan dihantar melalui SCCC, kerajaan negeri akan memberikan pertimbangan yang serius," katanya.

Shafie yakin SCCC mampu memainkan peranan besar dalam usaha itu seterusnya mewujudkan pelbagai manfaat untuk dinikmati semua pihak.

Beliau juga yakin penubuhan SCCC di bawah kepimpinan Datuk Frankie Liew turut boleh memainkan peranan bagi mengeratkan lagi hubungan di antara China dan Sabah yang sedia terjalin, seterusnya meningkatkan ekonomi negeri.

"Dengan itu, kerajaan bersedia untuk memberikan apa juga bentuk sokongan diperlukan bagi memenuhi agenda pembangunan Sabah," katanya.

Hadir sama ialah Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, Konsul Jeneral Republik China di Kota Kinabalu Liang Caide serta para tetamu kehormat yang lain.

  • oleh
  • Advertisement