Anda di sini

Rozman minta penduduk Labuan tanam durian di tanah terbiar

Advertisement
 Jamal, Rozman, Amir dan Jurijh memperlihatkan salah satu spesies durian Labuan berkualiti tinggi.
DARI kiri: Jamal, Rozman, Amir dan Jurijh memperlihatkan salah satu spesies durian Labuan berkualiti tinggi.

LABUAN: Penduduk Labuan diminta mengusahakan tanaman durian di tanah terbiar secara kluster agar dapat menambah pendapatan seisi keluarga.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata Labuan sedang menuju ke arah ekonomi berasaskan pelancongan dan memerlukan produk yang dapat menarik pelancong ke pulau ini.

"Ladang atau kebun buah-buahan yang diusahakan dengan sempurna bukan sahaja dapat mengeluarkan hasil yang berkualiti tetapi juga boleh menjadi produk agropelancongan di Labuan," katanya.

Beliau menegaskan Jabatan Pertanian Labuan komited membantu penduduk mengusahakan tanaman bukan sahaja buah-buahan tetapi juga tanaman sayur-sayuran, kelapa, ternakan kelulut, perusahan industri asas tani dan produk makanan lainnya.

"Saya menyarankan agar masyarakat berhubung terus dengan Jabatan Pertanian untuk mendapatkan khidmat yang diperlukan selaras dengan syarat-syarat yang telah digariskan.

"Saya yakin aktiviti pertanian akan memberikan pulangan dan keuntungan jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh seperti yang dibuktikan oleh beberapa pengusaha yang telah berjaya menghasilkan produk berkualiti," katanya ketika merasmikan Hari Ladang dan Promosi Durian Labuan 2019, petang Isnin.

Rozman memuji program itu yang menurutnya dapat mempromosi dan membuka mata orang ramai mengenai kemampuan Labuan menghasilkan buah durian berkualiti sama seperti negeri lain.

Program yang dijalankan di Taman Pertanian Kilan itu diisi dengan beberapa program lain seperti Kursus Pengurusan Tanaman Durian serta Kursus Pengurusan Penyakit dan Perosak Tanaman Durian dikendalikan penceramah yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur dan Kelantan.

Para pengunjung turut disajikan pelbagai jenis gred durian tempatan Labuan yang berkualiti serta setanding dengan durian berkualiti di tempat lain.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pertanian Malaysia Datuk Jamal Harizan Yang Razali, Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Seri Amir Hussien dan Pengarah Pertanian Labuan Mohd Jurijh Abdullah Fauzi.

Advertisement