Anda di sini

Projek RMKS Sungai Oya akhirnya diteruskan, kata Fatimah Abdullah

Advertisement
 Fatimah (depan, enam kanan) ketika menyerahkan surat tawaran kepada kontraktor bertanggungjawab.
SERAH: Fatimah (depan, enam kanan) ketika menyerahkan surat tawaran kepada kontraktor bertanggungjawab.

MUKAH: Setelah tertangguh selama dua tahun akhirnya projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) Sungai Oya akhirnya diteruskan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata projek tersebut merupakan penyambung kepada nadi ekonomi penduduk setempat.

“Kita nantikan saat projek ini menjadi kenyataan dan bakal menyerikan terutama kepada komuniti di pekan Sabtu Oya ini,” katanya pada penyerahan projek tersebut di pekarangan parkir Pekan Sabtu Oya semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Dalat Kueh Lei Poh, Ketua Masyarakat Mukah Temenggung Hendi Suhai serta pegawai-pegawai agensi terlibat.

Menurut Fatimah, projek itu diluluskan pada suatu ketika namun statusnya tidak diketahui setelah pertukaran kerajaan di peringkat persekutuan berlaku.

Namun, kelegaan terutama bagi penduduk, peniaga serta komuniti setempat akhirnya projek itu diteruskan di bawah pentadbiran kerajaan baharu.

“Projek pembinaan sepanjang 210 meter tebingan sungai itu yang akan memeriahkan suasana pekan itu diwujudkan sejak 2005,” katanya.

Beliau turut mengimbau kembali bagaimana kawasan itu sebelum ini sunyi dan hambar kerana ketiadaan perkhidmatan feri namun didapati hidup semula setelah pekan itu diwujudkan.

Fatimah berharap kontraktor dipertanggungjawabkan membina projek itu dapat menyiapkannya mengikut jadual iaitu dalam tempoh 12 bulan dengan nilai RM3.05 juta.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana berhasrat meneruskan projek yang begitu penting terutama kepada golongan petani, nelayan serta semua komuniti.

Advertisement