Anda di sini

Piala Malaysia: Tambadau dalam kumpulan maut

Advertisement
ANDREW (dari kanan), Henry, Jelius dan Yap di hadapan trofi Piala Malaysia semasa Majlis Undian Piala Malaysia 2019 di Kuala Lumpur pada Selasa.
ANDREW (dari kanan), Henry, Jelius dan Yap di hadapan trofi Piala Malaysia semasa Majlis Undian Piala Malaysia 2019 di Kuala Lumpur pada Selasa.

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah juara Liga Premier ini tetapi status lawan awalnya dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia juga bukan calang-calang.

Tambadau Sabah malahan dianggap berada dalam kumpulan maut apabila diundi bersaing dengan Perak selaku juara bertahan Piala Malaysia dan Pahang selaku juara Piala FA musim lalu serta Pulau Pinang, pesaing sengitnya dalam Liga Premier musim ini.

Perak di tangga kelima dalam saingan Liga Super musim ini tetapi merupakan finalis Piala FA menentang Kedah Sabtu ini manakala Pahang adalah naib juara Liga Super.

Apapun, skuad Tambadau Sabah bertekad membuat kejutan juga, sama seperti yang dilakukannya dalam saingan Liga Premier musim ini.

"Seperti orang lain, kalau boleh kita juga mahu berada dalam kumpulan mudah tetapi ia tidak berlaku. Kita dalam kumpulan maut sama seperti tahun lalu. 

"Kami akan bersedia untuk cabaran itu dan bertekad buat kejutan," kata Jelius ketika dihubungi selepas majlis cabutan undi di Kuala Lumpur pada Selasa.

Turut mewakili Sabah dan menyaksikan Majlis Undian itu ialah pengurus pasukan Henry Saimpon, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Andrew Majanggim dan Bendahari SAFA Yap Wai Loon. 

Jelius berkata, undian kumpulan itu tidak perlu dirisaukan sebaliknya mereka harus terus fokus dalam persiapan bagi memastikan pasukan berada di tahap terbaik menghadapi cabaran itu.

"Harus diingat bahawa semua 16 pasukan dalam saingan Piala Malaysia ini adalah yang terbaik dalam Liga Malaysia. Kita hanya perlu bersedia dan mengharapkan yang terbaik untuk sekurang-kurangnya mengotakan sasaran awal menyamai pencapaian tahun lalu itu berjaya ke separuh akhir," katanya.

Beliau berkata, Perak dan Pahang diletakkan sebagai pasukan pilihan tetapi ia bukan jaminan sebagaimana Selangor yang diletakkan sebagai pilihan utama dan diundi sekumpulan dengan Sabah tetapi tersingkir seawal saingan peringkat kumpulan tahun lalu.

Sabah yang tiada dalam senarai pilihan pula hampir membuat kejutan sebelum disingkirkan Perak di separuh akhir dengan agregat 2-7 di mana Sabah tewas 5-0 perlawanan pertama di Perak dan hanya seri 2-2 pada perlawanan balas di Stadium Likas.

"Dalam bola sepak ia bukan mustahil bagi pasukan bukan pilihan mengatasi pasukan pilihan. Harap-harap kita dapat melakukannya lagi musim ini terutama selepas pencapaian baik dalam saingan Liga Premier," katanya.

Tidak ramai yang menaruh harapan kepada Tambadau Sabah terutama selepas tujuh tahun bergelut dalam Liga Premier tetapi terbukti bahawa tiada yang mustahil jika ada kemahuan dan kena caranya apabila mereka muncul sebagai juara Liga Premier musim ini.

"Kami perlu bermain seperti yang kami lakukan dalam saingan liga musim ini. Suasana saingan Piala Malaysia tentunya berbeza tetapi ia juga peluang untuk melakukan kejutan lagi.

"Tidak kira macam mana, kami kena sesuaikan diri dengan situasi cabaran dan saya harap pemain dapat membawa bersama semangat juara liga sebagai tonik memberikan yang terbaik mengharunginya," katanya.

Sebagai rekod, Sabah belum pernah menjulang gelaran juara Piala Malaysia walaupun berjaya tiga kali ke final iaitu pada 1996, 2002 dan 2003. Pada 1996 dan 2002, Sabah dikecewakan Selangor manakala pada 2003 kalah kepada kelab MPPJ Selangor.

Saingan peringkat kumpulan dijalankan secara liga dua pusingan (tempat sendiri dan tempat lawan) bagi menentukan dua pasukan teratas mara ke pusingan suku akhir.

Saingan peringkat kumpulan piala kejohanan tertua di Asia Tenggara itu bermula pada 2,3 dan 4 Ogos depan. 

Kumpulan Piala Malaysia 2019
Kumpulan A: Kedah, Terengganu FC, PKNS FC, N Sembilan.
Kumpulan B: JDT, PJ City FC, PKNP FC, UiTM FC
Kumpulan C: Pahang, Perak, Sabah, P Pinang
Kumpulan D: Selangor, Melaka, Felda Utd FC, PDRM.

  • oleh
  • Advertisement