PUTATAN: Program Perolehan Hijau Kerajaan atau Go Green mampu memulihara alam sekitar dan sumber semulajadi selain meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia terhadap alam sejagat.
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Sri Zulkifli Abdullah berkata pihaknya menggariskan pelaksanaan pelan tindakan Go Green di peringkat AADK agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif, teratur dan sistematik.
"Program hari ini memilih Taman Teluk Villa di sini berikutan ia mendapat kerjasama erat daripada penduduk tempatan selain kawasan ini adalah tumpuan pelancong bagi melihat matahari terbenam.
"Pelaksanaan program ini juga bersesuaian dengan lima bidang fokus utama yang menggariskan lapan strategi serta inisiatif bagi mencapai objektif ditetapkan dalam AADK," katanya.
Beliau berkata bagi peringkat AADK Sabah beberapa program turut dilaksanakan termasuklah penggunaan bahan terpakai, kempen jom jimat penggunaan tenaga elektrik dan air serta amalan 3R iaitu kurangkan, guna semula dan kitar semula.
"Kita juga menggalakan pengurangan penggunaan kertas, penanaman pokok dan landskap contohnya di Cure and Care Service Centre (CCSC) di Keningau dan Program Angkat Jom Hijau di Taman Tasik Beaufort," katanya.
Program Love Nature, Go Green merupakan anjuran AADK Sabah dengan kerjasama Pertubuhan Pencegahan Dadah dan Jenayah Sabah, Pejabat Daerah Putatan dan Majlis Daerah Putatan dan telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Datuk Haji Sahari.