
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 224 unit gula-gula ‘Ghost Smoke’ dalam satu serbuan di sebuah premis di Petagas petang tadi (Rabu).
Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata kesemua unit Ghost Smoke bernilai RM122 itu dirampas selepas pihaknya menjalankan operasi di seluruh negeri hari ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit mendapat bekalan daripada pemborong sekitar sini manakala pemborong utama gula-gula ini adalah dari semenanjung,” katanya.
Menurutnya ini adalah rampasan pertama yang dihasilkan di Sabah setakat tahun ini dan pemeriksaan akan diteruskan oleh pihak KPDNHEP dari semasa ke semasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan penjual boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Penjual juga boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya,” katanya.
Beliau juga meminta orang awam untuk melaporkan penjualan gula-gula yang tidak dibenarkan ini atau maklumat berkaitan ke saluran disediakan atau Pejabat KPDNHEP untuk tindakan lanjut.