Anda di sini

Kerja selia jalan di Sabah akan distruktur semula

Advertisement
PETER berkata akan menunggu laporan daripada jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dari semua daerah terlibat sebelum memutuskan tindakan terhadap kontraktor yang didapati mempunyai prestasi buruk.
PETER berkata akan menunggu laporan daripada jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dari semua daerah terlibat sebelum memutuskan tindakan terhadap kontraktor yang didapati mempunyai prestasi buruk.

TAWAU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur bakal melakukan pembaharuan dan penstrukturan semula kerja penyeliaan dan penyelenggaraan jalan raya di seluruh Sabah.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata langkah itu bukannya menganiaya kontraktor terlibat tetapi memastikan kualiti jalan khususnya untuk kegunaan rakyat, dapat dipatuhi.

“Sepanjang pengamatan yang dilakukan dalam lawatan setakat ini, kita dapati ada sebilangan kontraktor terlibat mempunyai reputasi (kerja) yang begitu buruk dan teruk.

“Bagaimanapun, saya akan menunggu laporan sepenuhnya daripada jurutera dari semua daerah terlibat sebelum memutuskan tindakan susulan yang akan kita ambil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di sini pada Selasa, sempena lawatan kerja rasminya meninjau projek infrastruktur yang terdapat di 10 daerah.

Kesemua 10 daerah yang dilawati rombongannya itu selain Tawau, merangkumi Ranau, Telupid, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kalabakan, Nabawan dan Papar.

Mengulas lanjut, Peter berkata pihaknya sudah mengeluarkan amaran lisan awal kepada kontraktor yang terlibat supaya mematuhi kehendak kontrak konsesi masing-masing.

“Hasil daripada lawatan mengikut jalan darat kesemua daerah ini, saya akan rangkumkan keseluruhannya serta membuat rumusan mengenai kedudukan kontraktor yang dilantik.

“Kita akan ambil tindakan seperti mengganti dengan kontraktor baharu (jika perlu) atau penstrukturan semula dalam rangka membantu para wakil rakyat di kawasan terlibat.

“Khususnya, dalam usaha untuk memastikan keadaan jalan raya terutamanya jalan-jalan kampung di kawasan-kawasan terbabit berada dalam keadaan yang baik,” katanya.

Menurutnya, perkara terbabit juga menjadi faktor yang menyebabkan sesi lawatan kerjanya pada kali ini dilakukan menerusi jalan darat antara Kota Kinabalu-Tawau.

“Kalau ikut udara (kapal terbang) kita tidak boleh rasa (keadaan jalan raya sebenar di Sabah), dan sebab itu kita memilih mengikuti jalan darat untuk lawatan kerja kali ini.

“Hasil taklimat yang diberikan juga, kita melihat banyak cadangan yang berfaedah untuk kementerian di dalam penyelesaian masalah jalan raya termasuk penyelenggaraan.

“Kita juga menerima maklumat bermakna dalam usaha untuk memastikan semua kontraktor dilantik mempunyai wibawa atau kualiti yang ditetapkan,” katanya.

Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Jimmy Wong dan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastrukur Datuk Abd Muis Picho. 

Hadir sama dalam sesi taklimat juga, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balung Datuk Osman Jamal dan Adun Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Untuk rekod, Peter dan rombongannya memulakan perjalanan darat pada Isnin dari Kota Kinabalu ke Ranau, Telupid, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

Pada Selasa pula, perjalanan mereka diteruskan melalui jalan dari Tawau ke Kalabakan, Telupid, Nabawan, Keningau dan Papar sebelum berpatah balik ke Kota Kinabalu.

  • oleh
  • Advertisement