Anda di sini

JPN lapor polis isu gambar ibu pejabat diserbu pendatang asing

Advertisement
 Jasri (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung penularan gambar di media sosial yang mendakwa ibu pejabat jabatan itu di sini diserbu pendatang asing untuk mendapatkan status kewarganegaraan. — Gambar Bernama
LAPOR POLIS: Jasri (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung penularan gambar di media sosial yang mendakwa ibu pejabat jabatan itu di sini diserbu pendatang asing untuk mendapatkan status kewarganegaraan. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam membuat laporan polis berhubung penularan gambar di media sosial yang mendakwa ibu pejabatnya di sini diserbu pendatang asing untuk mendapatkan status kewarganegaraan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPN Jasri Kasim berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap penulis blog dan pemilik akaun Facebook berkenaan kerana membuat tuduhan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negara.

“Tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali, malah gambar situasi orang ramai beratur adalah gambaran biasa ketika orang ramai berurusan di JPN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini.

Menurutnya, gambar yang ditularkan itu merupakan gambar sekumpulan pelanggan yang hadir ke JPN Putrajaya pada 19 Julai lepas yang dibantu oleh unit khas kerajaan negeri Selangor, MySel.

Menurutnya lagi, mereka merupakan orang awam dari Pulau Ketam yang mempunyai pelbagai urusan berkaitan pendaftaran termasuk permohonan kad pengenalan serta kelahiran dan tidak terhad kepada permohonan kewarganegaraan sahaja.

Jasri turut menegaskan bahawa permohonan bagi mendapatkan kewarganegaraan hanya diberikan kepada mereka yang layak sahaja.

Jasri berkata pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung isu tersebut. — Bernama

Advertisement