Anda di sini

Gigit selepas gagal rogol

Advertisement
 Kupin ketika menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching.
MENGAKU SALAH: Kupin ketika menuju ke bilik tahanan Mahkamah Kuching.

KUCHING: Setelah memasuki rumah jiran dan gagal merogol remaja berusia 13 tahun, seorang penganggur bertindak ganas dengan menggigit hidung dan bibir mangsa pada 15 Julai lalu.

Akibat perbuatan itu, Mohamad Azuwan Sahari dijatuhi hukuman penjara lapan tahun serta dua sebatan oleh Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak di sini semalam kerana melakukan serangan seksual secara fizikal serta sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Tertuduh, 23, mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit sejurus pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan.

Menurut fakta kes, tertuduh menutup mulut mangsa yang sedang meronta-ronta untuk menyelamatkan diri.

Mangsa juga cuba melepaskan diri dengan menarik rambut tertuduh.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, jiran mangsa ternampak tertuduh yang dikenali dengan nama panggilan Kupin memasuki rumah mangsa di Kampung Pinggan Jaya.

Mereka serta-merta memaklumkan ibu bapa mangsa melalui telefon.

Mendengarkan khabar itu, ibu bapa mangsa segera pulang dan mendapati hidung dan bibir anak mereka berdarah.

Mereka juga membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada hari yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun serta dua sebatan.

Pertuduhan kedua pula menyaksikan dia didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara setahun.

Hakim Jason Juga menetapkan agar hukuman penjara berjalan secara serentak mulai dari tarikh tangkap.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement