Anda di sini

Fatimah menetapkan lima bulan untuk lakukan penambahbaikan kelemahan kementeriannya

Advertisement
 Fatimah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Latihan Kepimpinan Wanita di Kuching, semalam. — Gamba oleh Chimon Upon
PENAMBAHBAIKAN PERLU: Fatimah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Latihan Kepimpinan Wanita di Kuching, semalam. — Gamba oleh Chimon Upon

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak akan memastikan semua kawalan pengurusan kementerian itu mematuhi Arahan Bendahari (TI) dan diluluskan Pegawai Kawalan.

Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bagi tujuan itu beliau telah menetapkan tempoh lima bulan bermula 25 Julai ini untuk melakukan proses penambahbaikan kelemahan-kelemahan disenarai dalam Laporan Ketua Audit Negara Laporan Ketua Audit Negara 2018 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Beliau berkata semua ketua jabatan di bawah kementerian itu dan agensi berkaitan dipanggil menghadiri mesyuarat khas pada 25 Julai ini.

“Kementerian melihat Laporan Ketua Audit Negara sebagai suatu yang mesti kita perbaiki. Jadi kita menerima baik laporan itu kerana ia menunjukkan kedudukan kita.

“Bermula 25 Julai ini selepas satu mesyuarat melibatkan semua jabatan dan agensi di bawah kementerian diadakan, saya beri masa lima bulan untuk kementerian melaksanakan proses-proses penambahbaikan sesuai supaya ia tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Latihan Kepimpinan Wanita di sebuah hotel di sini, semalam.

Menjelas lanjut Fatimah berkata, antara perkara yang perlu dilakukan penambahbaikan ialah dari segi terimaan, perolehan dan pengurusan aset kementerian itu.

Beliau berkata sebelum ini terimaan, perolehan dan pengurusan aset kementerian tidak mematuhi Arahan Bendahari (TI) dan tidak mendapat kelulusan pegawai pengawal.

“Jadi inilah kelemahan-kelemahan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Pengurusan aset, terimaan dan perolehan dari segi pemantauan mesti dipertingkatkan, diluluskan oleh pegawai pengawal, lebih penting mematuhi Arahan Bendahari” ujarnya.

Mengakui beliau sedih dengan Laporan Ketua Audit Negara itu, Fatimah berkata  usaha keras kementerian selama ini dilihat sebagai satu kegagalan khasnya di mata orang awam.

Pada 15 Julai lalu, Laporan Ketua Audit Negara Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 dikeluarkan dan berdasarkan laporan itu Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak mencatat rekod kurang memuaskan bagi pencapaian pengurusan kewangannya dengan hanya 62.02 peratus.

Manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang di kedudukan teratas dengan pencapaian 97.43 peratus.

Advertisement