
LAHAD DATU: Empat lelaki Palauh ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Lahad Datu setelah disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan Tabawan, Kunak, pada Rabu.
Suspek dalam lingkungan umur 25 hingga 60 tahun yang ditahan itu masing-masing dari dua buah bot berwarna biru dan putih.
Turut dirampas, bot pam, alatan bom ikan dan ikan hasil aktiviti itu yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM10,000.
Pengarah APMM Zon Lahad Datu, Komander Abdul Muhaimin Mohammad Salleh berkata, kejadian berlaku jam 11 pagi ketika petugas melakukan rondaan rutin menaiki bot peronda di kawasan tersebut.
"Setelah menyedari bot peronda mendekati mereka, kedua-dua bot cuba melarikan diri namun berjaya diberkas berdekatan perairan paya bakau.
"Hasil siasatan awal, ditemui peralatan bom ikan dan hasil ikan dari aktiviti itu kira-kira setengah kilogram," katanya.

Suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Bahan Letupan 1957.
Menurut Abdul Muhaimin, APMM Zon Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan Lahad Datu dan Kunak.
Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dengan menghubungi 089-782619 atau talian MERS 999.