Anda di sini

Cili fertigasi Setia inspirasi KRT Sg Durin

Advertisement
 Hu (tujuh kiri), Tuai Rumah Selia (enam kiri) merakam kenangan bersama rombongan KRT Sungai Durin selepas melawat tapak projek tanaman cili secara fertigasi di Jalan Durin.
TANAMAN FERTIGASI: Hu (tujuh kiri), Tuai Rumah Selia (enam kiri) merakam kenangan bersama rombongan KRT Sungai Durin selepas melawat tapak projek tanaman cili secara fertigasi di Jalan Durin.

KAWASAN Rukun Tetangga (KRT) Sungai Durin telah mengadakan lawatan sambil belajar ke tapak projek penanaman cili secara fertigasi yang diusahakan oleh Tuai Rumah Setia Ulik di Jalan Durin, Durin baru-baru ini.

Rombongan yang diketuai pengerusinya Hu Kiing Ley turut disertai oleh Tuai Rumah Berendam Selia, Tuai Rumah Ingkok Minggu, Tuai Rumah Peter Sayong Depa, Tuai Rumah Manari Asap, Tuai Rumah John Ujang serta yang lain.

Hu berkata pertanian adalah satu bidang yang memerlukan seseorang itu sentiasa belajar dan terus belajar.

“Jangan malu bertanya jika tidak tahu dan perlu peka dengan keadaan tanaman. Apa yang penting dalam bidang pertanian adalah mempunyai jiwa dan raga kerana keinginan sahaja tidak mencukupi,” jelasnya kepada pemberita di Sibu.

 Rombongan KRT Sungai Durin mendengar taklimat yang disampaikan dalam lawatan ke tapak projek tanaman cili secara fertigasi di Jalan Durin.
TAKLIMAT: Rombongan KRT Sungai Durin mendengar taklimat yang disampaikan dalam lawatan ke tapak projek tanaman cili secara fertigasi di Jalan Durin.

Hu terdorong mengusahakan projek tanaman cili selepas melihat kejayaan Tuai Rumah Selia Ulis mengusahakan tanaman tersebut di Jalan Durin.

“Projek tanaman cili Tuai Rumah Selia amat berjaya sekali. Saya begitu bangga melihat kejayaannya dan terus mendorong saya untuk terus mengusahakan tanaman cili,” katanya.

Hu berkata projek tanaman cili secara fertigasi mampu membawa pulangan lumayan kepada mereka yang mengusahakannya.

 Para pekerja sedang sibuk di tapak projek tanaman cili fertigasi di Jalan Durin.
RAJIN: Para pekerja sedang sibuk di tapak projek tanaman cili fertigasi di Jalan Durin.

“Dengan keluasan tanah satu ekar, sebanyak 1,500 pokok cili boleh ditanam dengan modal permulaan kira-kira RM100,000 secara keseluruhannya.

“Kos itu adalah termasuk penyediaan tapak, pagar, saluran paip moden, gaji pekerja dan sebagainya,” ujarnya.

Menurut Hu, kaedah penanaman secara fertigasi tidak perlu membajak tanah, merumput mahupun meracun, apabila sampai masanya pokok lama akan digantikan dengan benih baharu menggunakan beg semaian sama.

“Malah, sistem pengaliran air secara moden sangat menjimatkan tenaga kerja. Dengan hanya memasang alat jangka masa di tangki bekalan di mana ia akan membekalkan air secara automatik mengikut masa yang ditetapkan,” jelasnya.

Hu berkata tanaman cili mula mengeluarkan hasil (buah boleh dituai) selepas empat bulan ditanam.

“Cili sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran dalam dan luar negara serta tanaman cili boleh ditanam secara komersial untuk dieksport,” katanya.

 Tanaman cili merah yang bahsru dituai.
PULANGAN LUMAYAN: Tanaman cili merah yang bahsru dituai.

Beliau yang juga pemilik Hii Nursery di Jalan Wong King Hou memberitahu tidak ramai penduduk yang tinggal di kawasan bandar minat menceburi bidang pertanian.

“Bak kata pepatah ‘Berbudi Kepada Tanah, Besar Hasilnya’. Peribahasa itu sentiasa menjadi pegangan kepada saya untuk menceburi bidang pertanian ini yang sudah pastinya akan membawa pulangan yang menguntungkan,” ujarnya.

Hu berkata, biarpun di mana berada jika pandai menggunakan sedikit kawasan untuk bercucuk tanam sudah pasti ada manfaatnya.

“Apabila mendapat hasil pertama, ia sangat memberangsangkan serta menambahkan keyakinan saya untuk terus mengusahakan tanaman cili,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement