Anda di sini

Belia Usia Tambunan buat laporan polis terhadap Madius

Advertisement
SUHAIDI (tengah) bersama ahli jawatankuasanya selepas membuat laporan di Balai Polis Tambunan.
SUHAIDI (tengah) bersama ahli jawatankuasanya selepas membuat laporan di Balai Polis Tambunan.

TAMBUNAN: Badan Belia Usia Bahagian Tambunan pada Selasa tampil membuat laporan di Balai Polis Tambunan terhadap Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Ia berikutan desakan Badan Belia Usia Pusat di media tempatan pada Selasa supaya Madius menarik balik dan memohon maaf kepada masyarakat Islam di negara ini mengenai dakwaannya yang dimuat naik di laman sosial milik peribadi beliau bahawa wujudnya paksaan dan ugutan daripada pemimpin tertentu terdahulu yang tidak disebutkan namanya berlaku di daerah ini.

Laporan yang dibuat oleh Ketua Belia Usia Bahagian Tambunan Suhaidi Awang Damit bersama Ahli jawatankuasa Belia Usia Bahagian Tambunan itu meminta pihak berkuasa menyiasat dakwaan berkenaan.

Menurut Suhaidi, kenyataan Madius boleh mencetuskan kemarahan umat Islam bukan sahaja di daerah ini malah di seluruh negara yang boleh menjejaskan tahap keharmonian serta perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

"Kita mahu pihak berkuasa menyiasat perkara ini, jika dibiarkan ia boleh menjejaskan keharmonian kaum dan menimbulkan persepsi umat Islam sebagai pengganas," katanya ketika ditemui di sini selepas membuat laporan di Balai Polis Tambunan pada pagi Selasa.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Belia Pusat berkata pihaknya telah memantau Facebook milik presiden Upko itu dan mendapati setelah lebih 48 jam, status itu masih wujud di laman sosial terbabit.

"Perkara ini membuktikan beliau (Madius) tidak peka terhadap isu sensitif melibatkan agama yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negeri ini. Beliau lebih rela netizen berperang melontarkan komen dan ini menunjukkan beliau tidak menghormati sensitiviti kaum yang mendesak beliau menarik balik dan memohon maaf kepada masyarakat Islam," katanya.

Advertisement