Anda di sini

Baiki sekolah dulu jangan berpolitik sangat: Abdullah

Advertisement
ABDULLAH
ABDULLAH

KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia memenuhi semua syarat ditetapkan Kementerian Kewangan dan berusaha mempercepatkan proses mendapatkan peruntukan daripada kerajaan persekutuan bagi memastikan projek membaik pulih atau membina baharu bangunan sekolah daif di Sarawak dapat disegerakan, kata Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol.

Beliau yang hairan mengapa Menteri Kewangan Lim Guang Eng menyentuh soal hutang kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan sedangkan pinjaman RM2.352 bilion dibayar mengikut perjanjian pinjaman, malah diperakui dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini.

“Lim Guang Eng dalam kenyataan mengakui melalui surat yang beliau terima pada 15 Julai, Kerajaan Sarawak bersetuju dengan semua syarat ditetapkan Kementerian Kewangan.

“Saya juga difahamkan bahawa susulan daripada persetujuan tersebut, mesyuarat telah diadakan antara pegawai-pegawai daripada kerajaan negeri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan untuk memastikan semua perkara dari segi prosedur pentadbiran dapat diselesaikan dan urusan seterusnya berjalan lancar,” katanya menerusi kenyataannya semalam.

Lim kelmarin berkata, proses membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sarawak akan dilaksanakan sebaik sahaja Kerajaan Sarawak membuat bayaran balik sebahagian daripada jumlah hutang sebagaimana yang telah dipersetujui.

Abdullah berkata, Kerajaan Sarawak bersedia membayar balik pinjaman kepada kerajaan persekutuan seperti yang dipersetujui bahawa ia disalurkan semula kepada Sarawak.

“Tetapi, saya difahamkan bahawa Kementerian Pendidikan mungkin tidak mempunyai masa cukup untuk mendapatkan dana tersebut daripada Kementerian Kewangan dan melaksanakan projek baik pulih sekolah di Sarawak pada tahun ini.

“Adalah diharapkan kerjasama serta hubungan yang erat antara negeri dan kementerian persekutuan mesti wujud secara ikhlas, jujur dan telus supaya projek baik pulih sekolah ini dapat dipercepatkan,” ujarnya.

Malah beliau menegaskan, bayaran pinjaman negeri RM2.352 bilion sentiasa dibayar mengikut jadual ditetapkan dan diperakui dalam Laporan Audit Negara - tidak pernah gagal — seperti yang termaktub dalam perjanjian pinjaman.

Katanya, Sarawak adalah antara kerajaan negeri yang mempunyai sistem kewangan paling teratur, telus dan diiktiraf dengan penarafan yang tinggi.

“Tidak perlu terlalu mengungkit tentang jumlah pinjaman, beri tumpuan kepada usaha memastikan pelaksanaan projek baik pulih sekolah dapat dipercepatkan.

“Guan Eng perlu ingat, urusan pendidikan negara adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Jangan cuba menidakkan atau mengambil ringan hak negeri dalam mendapatkan peruntukan sewajarnya daripada kerajaan persekutuan,” tegasnya.

Menurut beliau lagi, sikap sedemikian merupakan penyebab orang Sarawak curiga dengan kejujuran serta keikhlasan kerajaan persekutuan memenuhi tuntutan Sarawak dalam rundingan.

“Kita tidak dapat mengelak untuk membuat andaian bahawa kalau Sarawak ditadbir oleh Pakatan Harapan, mungkin banyak lagi hak dan kepentingan negeri akan terhakis dan seterusnya terhapus,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Guan Eng lebih agresif menuntut hutang daripada negeri-negeri lain supaya kerajaan persekutuan mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk memenuhi janji-janji pilihan raya mereka.

Menurutnya, perbincangan dan hubungan antara Kementerian Pendidikan dengan Kerajaan Sarawak amat baik dan saling memahami.

“Tapi saya kurang pasti tentang hubungan Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Kewangan.

“Kecurigaan ini timbul kerana kementerian-kementerian lain di persekutuan seperti Kementerian Kerja Raya kelihatan seperti menghadapi kesukaran untuk mendapatkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

“Mungkin keadaan begitu menyebabkan Menteri Kerja Raya sukar untuk mengumumkan projek-projek besar di Sarawak,” katanya.

Justeru, Abdullah mahu isu pendidikan terutama berkaitan sekolah daif di Sarawak tidak dipolitikkan.

Pendidikan katanya, adalah isu penting dan Kerajaan Sarawak sangat mengambil berat dan serius dalam memastikan infrastruktur sekolah dalam keadaan baik.

“Nada-nada politik yang remeh tidak perlu dalam urusan pendidikan kerana ia melibatkan masa depan anak-anak sekolah,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement