Anda di sini

130 kaki pancing sahkan penyertaan Jom Memancing Sabah Ports 2019 

Advertisement
SHAHLAN (tengah) bersama sebahagian AJK SP Kesuri. 
SHAHLAN (tengah) bersama sebahagian AJK SP Kesuri. 

SANDAKAN: Seramai 130 orang telah mengesahkan menyertai Jom Memancing Sabah Ports 2019 anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Kakitangan Sabah Port Sdn Bhd (SP Kesuri) pada 27 Julai ini.

Setiausaha SP Kesuri Shahlan Binju berkata pertandingan berlangsung jam 7 pagi hingga 1 petang itu akan diadakan di Jambatan Baharu Pelabuhan Sandakan, Jalan Pelabuhan Karamunting Baru turut disertai oleh kaki pancing dari luar daerah Sandakan termasuk Lahad Datu.

“Pertandingan ini merupakan julung kali diadakan selepas Jambatan Baharu Pelabuhan Sandakan siap sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo.

Beliau berkata persiapan pihak SP Kesuri untuk pertandingan Jom Memancing itu telah dilakukan dalam tempoh tiga bulan lepas.

“Penyertaan terbuka kepada kaki pancing berumur 18 tahun ke atas dan pas masuk percuma akan disediakan kepada setiap peserta. Peserta diwajibkan memakai pas itu sepanjang pertandingan berkenaan,” katanya.

Shahlan berkata hanya peserta sahaja yang dibenarkan masuk ke Pelabuhan Sandakan dan pihak penganjur juga mensyaratkan hanya membenarkan penggunaan joran sahaja.

“Pemenang akan diambil kira melalui ikan yang paling berat kecuali ikan utik, badukang, sembilang dan belut,” katanya.

Beliau berkata juara akan menerima wang tunai RM2,500, RM1,000 bagi tempat kedua, RM500 tempat ketiga manakala, tempat keempat hingga ketujuh RM150 dan tempat kelapan hingga kesepuluh RM100.

“Pihak penganjur juga menyediakan 20 hadiah ‘lucky draw’ berupa hamper bernilai RM50,” katanya.

Dalam pada itu, Shahlan berkata penganjuran itu adalah aktiviti SP Kesuri untuk menarik kakitangan Sabah Ports menyertai kelab berkenaan.

“Hanya 126 daripada 151 kakitangan menyertai kelab ini. Penganjuran ini adalah salah satu usaha dalam merealisasikan objektif bagi menarik kakitangan Sabah Ports yang belum menyertai SP Kesuri.

“Ini juga adalah usaha kita untuk mengumpul dana kelab bagi menampung kos aktiviti SP Kesuri pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata usaha itu juga adalah untuk memperkenalkan Jambatan Baharu Pelabuhan Sandakan selain mempromosikan pelancongan di Sandakan melalui memancing.

Penyertaan masih terbuka untuk kaki pancing di negeri ini menyertai Jom Memancing. Mereka boleh menghubungi Ariffin Abnai di talian 010-5843885, Gofran Kassim 013-8962350 atau menghubunginya di talian 016-8055057.

  • oleh
  • Advertisement