Anda di sini

Suami isteri terkena renjatan elektrik dikebumikan dalam satu liang lahad

Advertisement
 Hassan membawa jenazah cucu saudaranya untuk dikebumikan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembah di Pasir Puteh semalam. — Gambar Bernama
DISEMADIKAN: Hassan membawa jenazah cucu saudaranya untuk dikebumikan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembah di Pasir Puteh semalam. — Gambar Bernama

PASIR PUTEH: Jenazah sepasang suami isteri Shahril Apipie Mokhtar, 29, dan Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29, yang meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik kelmarin selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembah di sini pagi semalam.

Janin perempuan berusia lapan bulan yang dikandung Allahyarham Wan Hasheliza turut dikebumikan bersama-sama ibu bapanya selepas dikeluarkan daripada kandungan berikutan kejadian itu.

Ketiga-tiga jenazah yang dibawa dari Hospital Sungai Buloh, Selangor tiba pada jam 8.30 pagi sebelum disembahyangkan di rumah keluarga Allahyarham Wan Hasheliza di Kampung Sepulau, Semerak di sini.

Bapa Allahyarham Wan Hasheliza, Wan Ibrahim Awang Kechik, 59, berkata beliau sedih dengan pemergian anak keduanya daripada lima beradik itu namun menerimanya dengan reda kerana ia ketentuan Ilahi.

Wan Ibrahim berkata keluarganya bertambah sedih kerana anak sulungnya, Wan Hashimah telah meninggal dunia Ogos tahun lepas.

“Pemergian ini mengejutkan kami sekeluarga dan saya terima berita kematian petang semalam (kelmarin) ketika menziarahi kematian jiran setelah dimaklumkan anak bongsu, Wan Hanif, 17 tahun.

“Arwah dijangka melahirkan anak sulung pada September ini dan kali terakhir kami bertemunya semasa dia pulang untuk solat hajat bagi mendoakan keselamatan kandungan anak sulung mereka yang berusia lapan bulan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pengebumian yang dihadiri 100 ahli keluarga dan penduduk kampung.

Pasangan suami isteri itu adalah antara empat yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik selepas struktur tangga sebuah rumah dua tingkat yang sedang diubah suai runtuh lalu menghempap mereka dalam kejadian di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh.

Ketika kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, Wan Hasheliza yang mengandung anak sulung sedang menikmati durian di bawah tangga itu dan tersepit apabila struktur tangga yang dalam pembinaan itu runtuh.

Suaminya, Shahril Apipie dan dua yang lain iaitu Mohd Radezi Abdul Aziz, 35, dan seorang lelaki Indonesia Bambang Sulustio, 39, maut ketika cuba membantu menyelamatkan wanita itu. — Bernama

Advertisement