Anda di sini

Peniru lagak Dolly Parton, Johnny Cash bakal gegar pentas MCMF

Advertisement
 (Dari kiri) Troy, Lee Gracie dan Javaerlyne menunjukkan tanda bagus semasa pelancaran papan iklan MCMF 2019 di Miri.
LANCAR: (Dari kiri) Troy, Lee Gracie dan Javaerlyne menunjukkan tanda bagus semasa pelancaran papan iklan MCMF 2019 di Miri.

MIRI: Dua penyanyi country, Dolly Parton Tribute Act - Diamond Dolly dan Johnny Cash Experience masing-masing dari United Kingdom dan Jerman antara artis yang bakal membuat persembahan di Miri Country Music Fest (MCMF) pada 22 dan 23 November depan.

Menteri Muda Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Lee Kim Shin berkata ini merupakan julung kali peniru lagak Dolly Parton dan Johnny Cash mengadakan persembahan di Sarawak dan beliau pasti ramai yang teruja untuk menyaksikan persembahan itu.

“Saya gembira melihat  pilihan artis membuat persembahan pada MCMF ini nanti. Saya percaya ia akan meletakkan nama Miri di landasan yang tepat dalam di persada muzik country.

“Saya berharap acara ini dapat menjadikan Miri sebagai ikon utama muzik country khususnya di Sarawak. Ia bakal menarik penggemar muzik bukan sahaja tempatan malah dari luar negara,” katanya pada sidang media dan pelancaran MCMF 2019 di sini kelmarin.

Turut dijangka meng-adakan persembahan ialah Joe Ferdinands F&F (Singapura), Os Pombos (Kuala Lumpur), The Casual Ceilidh Band (Brunei), Frankie & His Music Machine (Miri) dan Lost Soulz (Miri).

Penasihat festival MCMF Gracie Geiki berkata, festival itu diadakan kerana minat mendalam warga Miri terhadap muzik country.

Katanya, warga Miri bukan menerima muzik country sahaja namun muzik lain berkaitan country.

“Penganjuran lalu berjaya menarik penonton dari Bintulu, Limbang, Lawas, Brunei, Sabah dan negara jiran seperti Australia dan Singapura.

“MCMF bukan hanya menampilkan persembahan artis malah bengkel muzik dan tarian selain aktiviti yang sesuai untuk keluarga,” katanya.

Penganjur menyasarkan kira-kira 2,000 penonton sepanjang dua hari persembahan itu.

MCMF mulai dianjurkan pada 2014 oleh Place Borneo selaku penganjur utama dan disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Mega Hotel selaku hotel rasmi, Coco Cabana (tempat rasmi) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Tiket kini mula dijual dengan harga awal RM38 sehari atau RM70 (dua hari) manakala harga biasa RM58 sehari atau RM100 (dua hari) dan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah adalah percuma.

Tiket boleh dibeli di laman sesawang miricountrymusic.com.

Hadir sama pemilik Miri Marina, Troy Yaw dan Pengurus Operasi Mega Hotel, Javaerlyne John Jutie.

  • oleh
  • Advertisement