Anda di sini

Orkid industri berpotensi

Advertisement
 Abang Wahap meninjau persiapan akhir Pertandingan Landskap Orkid sempena APOC 13 di BCCK semalam.
TINJAU: Abang Wahap meninjau persiapan akhir Pertandingan Landskap Orkid sempena APOC 13 di BCCK semalam.

KUCHING: Penganjuran Persidangan Orkid Asia Pasifik Ke-13 (APOC 13) dilihat berpotensi menjadikan penanaman orkid sebagai sebuah industri baharu di negeri ini.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata demikian kerana potensi untuk orkid dikomersialkan di Sarawak adalah sangat tinggi apatah lagi hutan di Kepulauan Borneo ini merupakan habitat bagi spesies orkid-orkid liar.

"Masih terdapat ribuan lagi spesies orkid yang belum diterokai di Sarawak dan ini pastinya membuka peluang kepada pencinta orkid untuk memperluaskan lagi penyelidikan terhadap tumbuhan ini.

"Justeru, penganjuran APOC 13  ini dilihat amat bersesuaian sekali gus dapat menarik minat penyelidik-penyelidik dari luar untuk membuat kajian tentang orkid yang terdapat di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas meninjau persiapan Pertandingan Landskap Orkid yang diadakan sempena APOC 13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Abang Wahap menambah, adalah tidak mustahil sekiranya Sarawak muncul sebagai sebuah lagi lokasi untuk industri pembiakan dan penjualan orkid yang setanding dengan negara luar seperti Taiwan, Filipina, Thailand dan Singapura.

 Sebahagian peserta sibuk membuat persiapan akhir untuk Pertandingan Landskap Orkid sempena APOC 13 di BCCK semalam.
PERSIAPAN: Sebahagian peserta sibuk membuat persiapan akhir untuk Pertandingan Landskap Orkid sempena APOC 13 di BCCK semalam.

"Inilah antara harapan kita di mana penganjuran persidangan seumpama ini akan memainkan peranan untuk menimbulkan kecintanan dalam kalangan penggemar-penggemar orkid yang akhirnya dapat memberi manfaat kepada Sarawak," katanya.

Sehubungan itu, beliau rasa bangga kerana Kuching adalah bandar pertama di Malaysia yang menjadi penganjur bagi persidangan tersebut.

"Kita rasa amat gembira kerana berjaya memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah untuk APOC 13 pada sesi bidaan yang diadakan di Okinawa pada 2015 lalu," ujarnya.

Beliau menyifafkan penganjuran APOC kali ini adalah yang terbesar sejak 1984 di mana seramai 500 orang delegasi dari 19 negara di Asia Pasifik  menyertainya.

"Malah, pada persidangan ini sebanyak 52 kertas kerja akan dibentang dan dibincangkan oleh penyelidik dan pakar orkid dari negara Asia Pasifik selama dua hari iaitu 25 dan 26 Julai," katanya.

APOC 13 yang berlangsung dari 22 hingga 28 Julai di BCCK di sini, dijangka  disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada Rabu, 24 Julai ini.

Bagi orang ramai yang ingin menyaksikan pameran orkid pula, ia dibuka pada 24 Julai selepas jam 12 tengah hari dan kemasukan adalah percuma.

  • oleh
  • Advertisement