Anda di sini

Nur Atikah kekal positif berjuang lawan kanser tulang tahap empat

Advertisement
 Raja Zarith Sofiah (dua kanan) berkenan menyerahkan sumbangan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) berupa wang tunai dan makanan keperluan asas kepada pejuang kanser di ruang pameran YKTLJ di Padang Awam Kampung Sungai Telor dekat Kota Tinggi, semalam. — Gambar Bernama
SERAH: Raja Zarith Sofiah (dua kanan) berkenan menyerahkan sumbangan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) berupa wang tunai dan makanan keperluan asas kepada pejuang kanser di ruang pameran YKTLJ di Padang Awam Kampung Sungai Telor dekat Kota Tinggi, semalam. — Gambar Bernama

KOTA TINGGI: Walaupun menghidap kanser tahap empat, Nur Atikah Mohd Ali Kong tetap kekal positif untuk terus berjuang melawan penyakit yang dihidapinya itu.

Menurut gadis berusia 21 tahun itu, kesihatannya merosot selepas disahkan positif kanser tulang semenjak tiga tahun lepas.

Nur Atikah yang berada dalam keadaan lemah dan menggunakan kerusi roda tidak dapat bertutur dengan baik kerana sentiasa berasa keletihan.

“Dulu sakit betul rasa badan, sekarang ini dah baik sikit,” katanya yang tidak dapat menghabiskan kata-kata dan mengalirkan air mata.

Nur Aisyah merupakan antara pejuang kanser yang menerima sumbangan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) berupa wang tunai dan makanan keperluan asas bersempena Kembara Mahkota Johor 2019.

Turut berkenan menyerahkan sumbangan, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah di ruang pameran YKTLJ di Padang Awam Kampung Sungai Telor, di sini, semalam.

Ibunya Siti Aisyah Ayob berkata, anak bongsunya itu sentiasa kuat semangat walaupun kadangkala mengadu kesakitan dan tidak dapat menghabiskan persekolahan sehingga Sjili Pelajaran Malaysia.

“Saya kena kuat untuk dia, sebab dia nampak tabah jadi saya juga kena reda dengan dugaan ini.

“Cuma saya harap orang ramai dapat mendoakan kesihatannya dan saya sekarang ini sedang cuba untuk mendapatkan bantuan kerusi roda yang lebih sesuai memandangkan tinggal di rumah flat tingkat tiga, jadi agak susah untuk bawa turun Nur Atikah jika hendak ke Hospital Sultanah Aminah,” kata suri rumah berusia 42 tahun dan mempunyai tiga anak perempuan.

Tambahnya, dia perlu menyediakan wang belanja yang lebih untuk kos perubatan anaknya itu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank Siti Aisyah Ayob, Bank Simpanan Nasional 01200290004511342.

Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bersama rombongan diraja  tiba di Padang Awam Kampung Sungai Telor, dekat sini, pada jam 10.30 pagi. — Bernama

Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli bersama anakandanya Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman; Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar dan menantunya, Datuk Dennis Muhammad Abdullah, bermain permainan rakyat seperti congkak, dam haji, batu seremban dan kukur kelapa.

Sementara itu, Raja Zarith Sofiah melihat pameran produk-produk Jauhar Collections daerah Kota Tinggi selain menyerahkan bantuan kepada pejuang kanser YKTLJ.

Hari terakhir KMJ 2019 melibatkan perjalanan sejauh 180 kilometer bermula dari Kota Tinggi, melalui Felda Taib Andak dekat Kulai, sebelum menutup tirainya di Melita Premium Fresh Pineapple dekat Ulu Tebrau, Johor Bahru. — Bernama

Advertisement